Rafizi kemas pejabat, tidak berganjak keputusan letak jawatan

SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli memaklumkan Jumaat merupakan hari terakhir beliau memasuki pejabat untuk menyelesaikan urusan dan mengemas, seolah-olah memberi bayangan keputusannya untuk meletak jawatan adalah muktamad.

Menurut Rafizi, dalam masa yang sama beliau turut mengambil kesempatan untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada lima pegawai yang membantu beliau mengusahakan inisiatif ekonomi di bawah Kementerian Ekonomi.

Kata beliau, kelima-lima mereka merupakan pegawai dasar yang dipujuk secara peribadi untuk meninggalkan kerjaya masing-masing sebelum ini demi menyumbang khidmat dan kepakaran di pejabat beliau.

"Saya masuk ke pejabat buat kali terakhir semalam dan hari ini (Jumaat) untuk urusan-urusan terakhir, termasuk mengemas pejabat.

"Dari cili kepada semikonduktor, kepada ekosistem syarikat pemula, Johor-Singapore Special Economic Zone (JSSEZ), 1 National Energy Transition Roadmap (NETR), kepada gaji progresif sehinggalah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), mereka banyak menterjemah idea-idea saya sehingga mula boleh dilaksanakan. Kini mereka akan kembali ke bidang masing-masing," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau masih memberi masa kepada dua menteri yang meletakkan jawatan sebelum ini, untuk memikirkan secara masak-masak sebelum melepaskan kedudukan mereka dalam Kabinet.

Perdana Menteri berkata, jika boleh beliau mahu Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad menyertai semula Kabinetnya. "... biar mereka berfikir.... Saya kalau boleh (mahu) mereka sertai semula (Kabinet).

Dalam pada itu, Rafizi turut menyenaraikan kelima-lima pegawai yang banyak memberikan tunjuk ajar kepada beliau sepanjang menjalankan tugas.

"Saya banyak belajar dari mereka, mungkin lebih dari mereka belajar dari saya. Terima kasih dari saya kepada doktor pakar endokrinologi lulusan University of Cambridge, Dr Azraai Bahari Nasruddin dengan lulusan tambahan dalam Informatics dari UCL. Ijazah kelas pertama. Berkhidmat lama di UK sebelum kembali ke Malaysia tahun 2014.

"Seterusnya, lulusan perbankan dan kewangan dari Monash University dan MSc dalam Applied and Computational Mathematics, John Hopkins University, Benjamin Quek yang sebelum ini seorang pengurus dana. Pelajar terbaik undang-undang dari University of London dan sarjana undang-undang dari University of Oxford, James Chai, ijazah kelas pertama. Sebelum ini kerjaya undang-undang dan dalam bidang teknolofi juga seorang penulis buku.

"Lulusan PPE (Politics, Philosophy and Economy) dari London School of Economics (LSE), Ismat Qayyum juga pemegang ijazah kelas pertama. Sebelum ini di sektor perbankan dan Haqimi Zamri yang berkelulusan Politik and Hubungan Antarabangsa dari University of Nottingham. Sebelum ini mengusahakan perusahaan sosial pada usia yang muda," ujarnya.