Keputusan kes Yusoff Rawther bukti badan kehakiman bebas – AMK Tangga Batu

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther daripada pertuduhan jenayah membuktikan badan kehakiman negara ini kekal bebas dan profesional.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tangga Batu, Farzana Hayani Mohd Nasir berkata, keputusan tersebut menunjukkan institusi kehakiman tidak tunduk kepada sebarang tekanan luar, termasuk campur tangan politik.

Menurutnya, dakwaan wujud campur campur tangan atau konspirasi politik hanyalah cubaan terdesak untuk mencetus persepsi dan menutup kelemahan sendiri.

“Adalah tidak bertanggungjawab bagi sesetengah pihak menjadikan keputusan mahkamah sebagai pentas politik menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara semberono, sedangkan tiada sebarang bukti kukuh mengaitkan beliau dengan pendakwaan ini. Apa yang disebut dalam afidavit bukanlah penghakiman.

“Jangan kerana ghairah mahu meraih perhatian, mereka sanggup mencemarkan kredibiliti institusi kehakiman, menjatuhkan imej penguat kuasa dan menimbulkan keraguan awam terhadap sistem keadilan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Muhammed Yusoff dilepaskan dan dibebaskan (DNA) atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, di Mahkamah Tinggi pada Khamis.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh berusia 32 tahun itu di akhir kes pendakwaan.

Dalam pada itu, Farzana Hayani berkata, pihaknya kekal konsisten memperjuangkan reformasi institusi secara tuntas dan bukan dengan membakar sentimen serta menghasut rakyat melalui spekulasi liar.

“Kita yakin rakyat semakin matang menilai. Tindakan sesetengah pihak ini tidak mencerminkan kekuatan politik sebaliknya ia mendedahkan ketandusan prinsip dan keberanian untuk berpolitik secara beretika,” ujarnya.