KOTA KINABALU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menyifatkan tindakan pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal rasuah pelesenan mineral di negeri ini sebagai mesej tegas bahawa amalan salah guna kuasa tidak boleh lagi diberi ruang.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, PKR Sabah menyokong penuh sebarang usaha berterusan oleh SPRM untuk membanteras rasuah tanpa mengira kedudukan, pangkat mahupun pengaruh politik.
"PKR Sabah percaya bahawa langkah pendakwaan oleh SPRM ini menghantar mesej penting bahawa budaya salah guna kuasa tidak boleh lagi diberi ruang dan sudah tiba masanya Sabah memperkukuh standard urus tadbir yang lebih tinggi dan berwibawa.
"Isu perlesenan lombong mineral telah lama menjadi perhatian rakyat di negeri ini yang mengharapkan hasil bumi negeri dapat diurus secara adil dan dimanfaatkan demi kesejahteraan semua," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi turut berkata, rasuah adalah musuh pembangunan dan jika dibiarkan terus berakar, ia akan merosakkan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran dan pengurusan sumber negeri.
"PKR Sabah berpegang teguh kepada prinsip bahawa ketelusan, integriti dan akauntabiliti mesti menjadi asas dalam setiap keputusan yang melibatkan sumber kekayaan negeri
"Ia juga melibatkan sumber asli yang bernilai tinggi serta kepentingan awam dalam pengurusan kekayaan negeri," katanya.
Dalam pada itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar menggesa SPRM agar dapat meneliti aduan salah guna kuasa melibatkan pengurusan sumber air yang semakin kritikal.
Sebelum itu, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya dua individu akan didakwa di mahkamah berhubung dakwaan rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tertentu di Sabah.