'Jangan tunggu bom jatuh atas kepala baru mahu bersuara'

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan serangan terbaharu Israel ke atas Iran baru-baru ini sebagai tindakan gila kuasa dan pengecut.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, dunia tahu bahawa tindakan Israel yang kononnya atas nama keselamatan dan serangan pencegahan itu merupakan suatu penyelewengan kuasa.

Ujar beliau, hanya pengecut yang melancarkan serangan dan melakukan pembunuhan dari jauh tapi takut apabila rakyat bersatu melawan kezaliman.

"Kepada dunia, jangan tunggu sampai bom jatuh di atas kepala sendiri baru mahu bersuara.

"Keamanan tidak datang dari tunduk pada penindas, ia datang bila kebenaran ditegakkan, walau berdepan kuasa sebesar mana," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Mohamad, parti turut mengecam perbuatan rejim Zionis yang didakwa semakin angkuh.

Katanya, Israel kini semakin berlagak dan beranggapan mempunyai kuasa sebagai polis dunia, pendakwa dan hakim.

"Dan dunia Arab? Masih pura-pura pekak, buta, bisu. Bila Iran bertindak, mereka (anggap) ancaman.

"Bila Israel menyerang, anggap mereka menjaga kestabilan. Sikap 'pilih bulu' yang menjijikkan," ujarnya.

Beliau turut memberi peringatan kepada rejim Zionis bahawa kezaliman tidak akan kekal.

"Kezaliman mungkin tampak gagah hari ini, tapi ingat angin perubahan tidak pernah berhenti.

"Semakin ramai umat manusia yang sedar siapa sebenarnya penjajah, siapa sebenarnya pengganas," tegasnya.