Pas gesa PBB hentikan serangan Israel terhadap Iran

SHAH ALAM - Pas menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memikul tanggungjawab besar untuk segera menghentikan tindakan tidak bertamadun tentera Israel yang menyerang Iran.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya rejim Israel terhadap Iran yang jelas melanggar undang-undang dan norma antarabangsa termasuk menggugat kedaulatan serta keselamatan negara.

“Seluruh masyarakat antarabangsa hendaklah mengutuk serangan ini dan PBB memikul tanggungjawab besar untuk segera menghentikan tindakan tidak bertamadun oleh rejim haram Israel.

“Kepada seluruh negara Islam, saya mengulangi seruan untuk bersatu dalam menghadapi musuh yang hendak memecah belahkan perpaduan sesama kita,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook pada Jumaat.

Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan Israel telah melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran di Natanz termasuk menyasarkan saintis, komander tentera dan kilang peluru berpandu negara itu.

Dalam satu mesej video yang dikongsi, Netanyahu menyifatkan operasi itu sebagai satu ‘detik penentu dalam sejarah Israel’ dan menamakan serangan tersebut sebagai ‘Rising Lion’.