Bersatu sokong cadangan Petronas tamat kontrak pekerja secara berfasa

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong langkah Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menamatkan kontrak 5,000 pekerjanya secara berfasa sebagai langkah lebih berperikemanusiaan bagi mengurangkan impak ekonomi dan sosial terhadap golongan terjejas.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, proses penamatan secara berperingkat memberi ruang kepada pekerja untuk menyesuaikan diri dan mencari peluang baharu tanpa tekanan mendadak.

Menurut beliau, langkah tersebut juga selari dengan gesaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan agar mana-mana pekerja terlibat diberikan latihan tambahan dan latihan semula.

"Kami menyokong pandangan Tan Sri Muhyiddin bahawa proses penamatan perkhidmatan ini wajar dilakukan secara berskala dan bukannya tergesa-gesa.

"Latihan tambahan dan pemerkasaan semula kemahiran perlu dilaksanakan bagi memastikan pekerja-pekerja ini mampu terus bersaing dalam pasaran kerja,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, Petronas sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terkemuka sepatutnya menjunjung semangat tanggungjawab sosial dengan memastikan kakitangan yang telah menyumbang tetap dibela walaupun berstatus kontrak.

“Petronas harus membuktikan bahawa moto syarikatnya ‘Our Passion Uplifting Community’ bukan sekadar hiasan sebaliknya benar-benar dilaksanakan dalam tindakan,” tegasnya.

Bagaimanapun, Mohamed Farid turut melahirkan kebimbangan sekiranya tindakan pemberhentian itu dilakukan atas desakan kerajaan Madani yang terus menekan Petronas dari segi kewangan dan permintaan dividen tinggi.

Beliau mempersoalkan rasional membuang 10 peratus tenaga kerja ketika Petronas mencatat keuntungan melebihi RM55 bilion selain menuntut penjelasan sama ada semua penjimatan hasil pemberhentian itu akan disalurkan kepada kerajaan.

"Penjimatan yang dianggarkan kurang RM2 bilion setahun mungkin tidak setimpal dengan kesan jangka panjang terhadap produktiviti dan kesejahteraan pekerja," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Petronas akan mengurangkan kira-kira 10 peratus daripada tenaga kerjanya atau lebih 5,000 orang susulan penstrukturan semula syarikat secara menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, langkah itu terpaksa diambil bagi mengurangkan kos susulan kejatuhan harga minyak mentah.

Katanya, semua pihak yang terlibat dengan penstrukturan semula itu akan dimaklumkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Tambah beliau, syarikat petroleum dan gas negara itu juga akan membekukan kenaikan pangkat serta pengambilan pekerja baharu hingga Disember tahun depan.