Hadi Awang masih relevan, tiada isyarat untuk berundur - Tuan Ibrahim

KOTA BHARU – Tan Sri Abdul Hadi Awang perlu dikekalkan sebagai Presiden Pas kerana kepimpinan dan pemikirannya terus relevan, bukan sahaja di peringkat nasional, malah di persada antarabangsa.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada sebarang petunjuk bahawa Abdul Hadi berhasrat untuk berundur, malah gerakan Islam di seluruh dunia masih mengharapkan sumbangan ideanya dalam isu ummah dan politik global.

“Saya bersama Tok Guru dalam banyak pertemuan, sepatah pun beliau tak pernah sebut nak undur, melainkan hanya spekulasi.

“Tok Guru masih relevan. Orang kata dia uzur, tapi pemimpin ini kita nilai dengan akal dan pandangan beliau, bukan tubuh. Tengok Tun Mahathir pun sampai umur 90 masih pimpin,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah di Medan Ilmu di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, Abdul Hadi juga dianggap antara tokoh utama dunia Islam dalam konteks politik semasa.

“Setakat ini, dalam dunia Islam, saya rasa Tok Guru antara pemimpin politik nombor satu dari segi pandangan politik.

“Dalam beberapa pertemuan dengan gerakan Islam, mereka sangat mengharapkan Tok Guru terus beri pandangan,” katanya.

Tuan Ibrahim turut menolak dakwaan wujud perebutan jawatan dalam Pas menjelang Muktamar Tahunan Pas Pusat Ke-71 yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 16 September ini di Kedah.

Beliau sebaliknya menegaskan bahawa semua jawatan dalam parti itu terbuka kepada pertandingan dan akan ditentukan oleh perwakilan.

**media[3163684]**

“Dalam Pas, tak ada budaya kempen-kempen jawatan. Sejak dulu lagi, siapa yang berkempen biasanya dia yang kalah.

“Kami terbuka untuk pertandingan, sama ada Presiden, Timbalan atau Naib. Tapi dalam Pas, jawatan bukan benda yang direbut-rebut,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyelar kenyataan Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Zulhazmin Hassan sebelum ini yang mencadangkan nama pemimpin Pas seperti Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Datuk Mohd Amar Abdullah sebagai calon Presiden dan Timbalan Presiden Pas.

“Dia dulu ahli Pas, sekarang dah jadi ahli Amanah. Sepatutnya komen parti dia, bukan cadang nama untuk parti orang lain.

“Kalau teringin nak mencadang pun, cadanglah dalam parti sendiri,” tegas beliau.