Ahli UMNO perlu bersatu hati demi parti - Wan Rosdy

KUANTAN - Semua ahli parti diseru supaya tampil sebagai satu pasukan yang bersatu hati dan sepakat fikiran dalam persidangan UMNO Bahagian bermula hari ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, persidangan itu adalah medan terbaik untuk bermuafakat, berbincang dengan penuh hikmah dan memperkukuh semangat perjuangan.

"Selamat bersidang saya ucapkan kepada semua perwakilan UMNO Bahagian di seluruh negara yang akan berhimpun hari ini (Isnin) hingga 27 Julai.

"Jadikanlah mesyuarat ini satu pentas yang subur dengan idea baharu, terbuka dalam menerima pandangan serta utuh dalam semangat kekeluargaan UMNO yang kita cintai," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, semua ahli perlu bangkit bersama membina semula kekuatan parti keramat ini agar UMNO terus kekal relevan dan dihormati.

Jelasnya, UMNO mesti dipercayai rakyat demi agama, bangsa dan tanah air.

"Bersatu, bersetia, berkhidmat," katanya ringkas.