SHAH ALAM – Semua pihak diminta menghentikan polemik berterusan mengenai kedudukan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, demi memastikan kestabilan politik dan kelancaran pentadbiran negeri terus terpelihara.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi menegaskan, fokus utama ketika ini ialah memenuhi mandat rakyat yang telah memilih Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan untuk tempoh lima tahun.
“Tunggu lepas pilihan raya. Kestabilan negeri adalah satu perkara yang sangat penting. Tanpa kestabilan politik, mana mungkin kita dapat menjayakan setiap program dan membantu rakyat Selangor,” katanya ketika diminta mengulas isu berkait kedudukan Amirudin sebagai Menteri Besar.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Kenduri Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang, di Taman Tasik Seri Serdang di sini pada Ahad malam.
Menurut beliau, rakyat telah membuat keputusan dalam pilihan raya lalu dan kini tiba masanya untuk semua pihak kembali bekerja dan menunaikan janji-janji kepada pengundi.
“Cukup-cukuplah berpolitik. Berpolitik lima tahun sekali ketika pilihan raya. Keputusan sudah dibuat dan Menteri Besarnya adalah Datuk Seri Amirudin Shari. Barisan Exco juga terdiri daripada semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
“Fokus pada matlamat kita untuk penggal ini selama lima tahun seperti mandat yang diberikan rakyat,” tegasnya.
Abbas turut menafikan beliau berkempen untuk Amirudin, sebaliknya menjelaskan kenyataannya adalah berdasarkan kepentingan kestabilan negeri dan perpaduan dalam kalangan wakil rakyat.
“Saya bukan berkempen untuk Amirudin kerana saya dari Amanah. Tetapi mesej saya jelas, kestabilan di negeri Selangor harus dipelihara dan kami sebagai ADUN mahu Amirudin kekal sehingga habis penggal ini,” katanya.