Isu penyatuan Melayu, kes Yusof Rawther jadi 'peluru' baharu pembangkang serang Kerajaan Madani – Abdullah Sani

SHAH ALAM – Bekas Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mendakwa bahawa isu penyatuan Melayu yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad serta kemunculan semula kes Muhammad Yusof Rawther merupakan senjata politik terbaharu pembangkang untuk menyerang Kerajaan Madani dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan bahawa dakwaan Dr Mahathir, yang juga bekas Perdana Menteri, kononnya kuasa Melayu semakin terhakis sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah tidak berasas dan hanya bertujuan mencipta persepsi negatif terhadap kepimpinan Anwar.

“Majoriti Ahli Parlimen, menteri Kabinet, Ketua Polis Negara, Ketua Hakim Negara, Peguam Negara serta ketua-ketua jabatan kerajaan adalah Melayu dan Bumiputera. Jadi, di mana logiknya apabila dikatakan kuasa Melayu sudah hilang?” katanya kepada Sinar Harian.

Abdullah Sani mengulas tindakan Dr Mahathir melancarkan Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu kononnya bagi menyatukan kaum itu di bawah satu wadah bukan politik.

“Beliau sendiri menubuhkan banyak parti politik baharu termasuk Pejuang dan Bersatu. Namun semua itu hanya membawa kepada lebih banyak perpecahan, bukan penyatuan,” ujarnya.

Menurut beliau, kegagalan Mahathir dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu jelas menunjukkan bahawa rakyat tidak lagi menerima corak kepimpinannya.

‘Yusof Rawther ulang skrip lama’

Dalam pada itu, Abdullah Sani turut membidas tindakan Muhammad Yusof Rawther yang menurutnya cuba menghidupkan kembali tuduhan terhadap Ahli Parlimen Tambun sebagai sebahagian strategi pembangkang untuk merosakkan imej Perdana Menteri.

“Dia pernah didapati berbohong oleh polis dan mahkamah. Kini, apabila Anwar menjadi Perdana Menteri, dia muncul semula. Sama seperti skrip Saiful Bukhari dahulu,” katanya.

Bekas Ketua Cabang PKR Kapar itu menyifatkan bahawa serangan terhadap Anwar kini telah beralih kepada bentuk serangan peribadi setelah semua usaha lain gagal.

“Ini bukan soal kebenaran, tetapi soal mencipta persepsi. Budak politik separuh masak pun sanggup guna cara jijik asalkan ada keuntungan politik,” tegasnya.

Beliau turut menggesa rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan naratif pembangkang dan memberi ruang kepada kerajaan untuk menumpukan perhatian kepada urusan pentadbiran negara.

“Tujuan mereka jelas, iaitu untuk menggugat Anwar dan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan,” katanya.