Armizan tegur Ka Siong supaya tidak keliru rujukan undang-undang

SHAH ALAM – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menegur Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong agar tidak keliru atau tersilap dalam merujuk undang-undang berkaitan kawalan bekalan.

Ahli Parlimen Papar itu menjelaskan bahawa beliau secara jelas menyebut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 dalam sidang media pada 5 Jun lalu.

Bagaimanapun, menurut beliau, Ka Siong telah mengulas panjang lebar mengenai undang-undang lain iaitu Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2022 (Akta A1652) ketika membahaskan isu tersebut.

“Memang takkan jumpa peruntukan undang-undang yang saya maksudkan sebab saya sebut A, beliau rujuk Z. Apapun, saya fikir perlu ucap tahniah kepada Presiden MCA kerana dalam 'posisi' sekarang beliau lebih cakna sebagai 'jurucakap rakyat' berbanding dahulu.

“Saya rasa kalau aura 'jurucakap rakyat' itu muncul lebih awal semasa beliau masih menjadi menteri, beliau dan partinya pasti akan membantah lebih awal pada tahun 2021, bukannya pada tahun 2025,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, Ka Siong menuntut Armizan membuat permohonan maaf atas dakwaan kononnya beliau terlibat dalam meluluskan peraturan berkaitan kawalan bekalan ketika berada dalam Kabinet pada tahun 2021.

Ka Siong memberikan reaksi tersebut selepas Armizan mengingatkan beliau agar menyemak semula peraturan yang digubal semasa tempoh perkhidmatannya sebagai Menteri Pengangkutan, sebelum mengkritik kementerian yang diterajui kini oleh Armizan.

Menurut Armizan, pindaan kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 2021 telah diwartakan sebagai Warta Kerajaan Persekutuan dan boleh diakses umum sejak lebih tiga tahun lalu.

“Saya tidak kisah Presiden MCA menuduh saya berbohong. Orang politik jangan cepat koyak. Cuma saya merayu, janganlah kelirukan rakyat dengan rujukan kepada undang-undang yang saya tidak sebut,” katanya.

Armizan mengakui bahawa beliau hanya merupakan Ahli Parlimen penggal pertama, berbanding Ka Siong yang sudah berpengalaman dalam beberapa penggal di Dewan Rakyat serta lama berkhidmat dalam Anggota Pentadbiran.

“Bagaimanapun, dalam ceteknya pengalaman saya berbanding Presiden MCA, saya tetap berpegang dan merujuk kepada punca kuasa perundangan yang sah,” katanya.

Tambah beliau, lebih penting adalah untuk tidak mengelirukan rakyat dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

“Menuduh saya memetik punca kuasa perundangan yang tidak wujud bukan cerminan kepada pengalaman dan kebijaksanaan Presiden MCA yang saya pernah kenali dahulu,” ujarnya.