SHAH ALAM - Cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan platform baharu yang memperjuangkan nasib dan kebajikan orang Melayu dijangka sukkar untuk mencapai matlamatnya.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berpendapat, ia memandangkan hanya sebahagian sahaja orang Melayu yang mungkin mempunyai kepentingan tersendiri akan menyokong.
“Bagi saya ia tidak akan berjaya kerana sudah banyak usaha sebelum ini yang dilakukan atas nama perjuangan Melayu, tapi tidak ke mana. Untuk membina platform yang menyatupadukan orang Melayu, ia perlulah mempunyai satu saluran yang diterima semua.
“Kita perlu jujur kalau tiada satu platform yang benar-benar kuat dan inklusif, perjuangan itu akan tinggal sebagai retorik semata-mata.
“Lagipun kita sudah ada platform yang tersedia misalnya UMNO yang memang perjuangannya berdasarkan kepentingan Melayu. Jadi, bagi saya itu platform yang lebih sesuai berbanding membuat penubuhan baharu,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Dr Mahathir mengumumkan inisiatif baharu untuk menggabungkan orang Melayu di bawah satu payung besar yang dikenali sebagai Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu.
Jelas Dr Mahathir, gerakan yang tidak bermotifkan politik itu bertujuan menjadi wadah bagi menyelesaikan masalah dan isu dihadapi orang Melayu yang disifatkan gagal ditangani kerajaan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Marthada berkata, penubuhan platform baharu itu juga menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar ikhlas atau sekadar mahu menghidupkan semula pengaruh politik.
“Kenapa masa jadi kerajaan tidak bawa isu ini? Tun pernah jadi Perdana Menteri, malah dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) pun ada peluang.
“Tapi isu ini hanya muncul semula selepas tiada kuasa pula,” ujarnya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berpandangan, sebarang usaha untuk membentuk satu payung besar baharu yang menghimpunkan parti-parti Melayu akan menghadapi cabaran besar kerana kekuatan akar umbi UMNO dan Pas yang telah terbina sejak puluhan tahun.
Katanya, gabungan baharu tanpa sokongan menyeluruh daripada parti gergasi sedia ada dilihat tidak mampu menggugat dominasi politik masa kini.
“Identiti politik berasaskan kaum dan agama seperti yang digambarkan oleh kewujudan parti seperti DAP, MCA, MIC, UMNO dan Pas terus menjadi elemen teras dalam politik negara. Dalam konteks ini, pembentukan pertubuhan baharu harus dilihat dengan berhati-hati agar tidak mengganggu kestabilan semasa.
“Malaysia masih memerlukan hala tuju politik yang jelas, berteraskan undang-undang dan prinsip asas negara. Dalam landskap politik yang semakin mencabar, kestabilan dan keselamatan negara kekal menjadi keutamaan utama.
“Sebarang percubaan untuk merombak struktur politik sedia ada tanpa asas kukuh berisiko mencetuskan ketidaktentuan yang boleh menjejaskan pembangunan negara,” ujarnya.