Pasca pemilihan PKR: Jangan heret penjawat awam untuk intimidasi rakyat – Rafizi

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa agar penjawat awam tidak dijadikan alat untuk mengintimidasi rakyat yang memberikan perbezaan pandangan terhadap implikasi pemilihan parti itu penggal 2025-2028.

Menurut penyandang Menteri Ekonomi itu, sejak seminggu lalu, beberapa individu yang memberi ulasan kritikal terhadap proses dan keputusan pemilihan parti itu telah dikenakan pelbagai bentuk tindakan siasatan oleh pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya telah menerima aduan daripada orang awam yang menyatakan mereka didatangi oleh pegawai SKMM dan polis, ada antaranya tanpa dokumen rasmi, manakala telefon pintar dan kad SIM turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Berikutan itu, Rafizi menyifatkan tindakan berkenaan sebagai bentuk tekanan tidak wajar yang hanya akan memburukkan imej pentadbiran negara di mata rakyat.

“Kandungan yang disiasat hanya merupakan pandangan peribadi berhubung pemilihan PKR dan tidak melanggar mana-mana undang-undang.

"Jika benar ia satu kesalahan, seharusnya disusuli prosedur yang telus dan berasas, bukan kaedah yang menimbulkan ketakutan,” ujarnya.

Dedah Ahli Parlimen Pandan itu, antara individu yang dikatakan menjadi sasaran termasuk pengguna platform X yang dikenali sebagai Amer Hamzah @amer7211, di mana isterinya turut membuat laporan polis selepas didatangi pegawai SKMM dan polis.

Dalam kenyataan itu, Rafizi turut melampirkan dokumen berkaitan seperti:

- Kandungan yang diadu (Lampiran A)

- Laporan polis oleh isteri OKA (Lampiran B)

- Notis siasatan SKMM (Lampiran C)

- Senarai rampasan oleh PDRM (Lampiran D)

Selain itu, Rafizi turut mendedahkan senarai beberapa akaun media sosial lain yang didakwa turut menerima nasib serupa selepas memberi pandangan mengenai pemilihan PKR, termasuk akaun pahbedah41, msianaffairs, marioskyjuice, PejuangPH, oreo_koshka330, pemudakudu_my, dan lain-lain.

“Saya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil tidak pernah mengarahkan tindakan terhadap mana-mana rakyat yang menyuarakan pandangan secara sah,” katanya.

Menurut Rafizi, tindakan seumpama ini berkemungkinan digerakkan oleh individu tertentu yang bertindak menggunakan nama pemimpin atasan bagi kepentingan politik peribadi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak agar menghentikan segera intimidasi terhadap rakyat, serta mengingatkan penjawat awam supaya tidak tunduk kepada tekanan politik yang menyimpang daripada tanggungjawab mereka.

“Jangan campur-adukkan pandangan politik dengan urusan rasmi kerajaan.

"Tindakan ini hanya mencemarkan integriti pentadbiran awam negara,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan bahawa pasukan peguam sukarela sedang bersedia untuk mewakili mana-mana individu yang menjadi mangsa tindakan sedemikian bagi mempertahankan hak mereka di sisi undang-undang.

Pada pemilihan parti itu bulan lalu, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar diumumkan sebagai pemenang jawatan Timbalan Presiden PKR sewaktu majlis perasmian Kongres Nasional Keadilan 2025 di Johor Bahru, Johor.

Nurul Izzah yang juga bekas Naib Presiden parti, memperoleh 9,803 undi untuk menewaskan Rafizi yang meraih 3,866 undi.

Untuk rekod, Rafizi pernah tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR pada 2018, sebelum bekas Menteri Kanan (Ekonomi) itu keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada tahun 2020.

Bagaimanapun, Rafizi muncul pemenang jawatan itu pada pemilihan 2022 selepas mengalahkan bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.