SHAH ALAM – Pemuda Pas Selangor membidas dasar kerajaan yang didakwa tidak konsisten berhubung isu larangan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi oleh pengusaha makanan dan minuman kecil, sehingga menimbulkan kekeliruan.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, dasar tersebut jelas menunjukkan kelemahan kerajaan dalam menangani isu melibatkan keperluan asas rakyat.
Ujarnya, pelbagai kenyataan bercanggah dikeluarkan sehingga mengelirukan banyak pihak termasuk pihak penguat kuasa yang menjalankan tugas.
“Ia menggambarkan seolah-olah kerajaan sendiri tidak memahami apa yang mereka laksanakan.
"Kekeliruan demi kekeliruan ini hanya menambahkan kesengsaraan rakyat, khususnya pengusaha kecil seperti penjaja, pemilik warung dan gerai makan yang bergantung sepenuhnya kepada LPG bersubsidi untuk terus beroperasi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, isu berkenaan tidak boleh dianggap sebagai masalah teknikal semata-mata, sebaliknya mencerminkan kegagalan dasar serta sikap kerajaan yang dilihat seakan-akan menganiaya rakyat marhaen.
Mohamed Sukri menegaskan bahawa tidak ada sebarang justifikasi munasabah untuk menyekat penggunaan LPG bersubsidi oleh peniaga kecil yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi rakyat.
Tambahnya, kerajaan seharusnya membela dan melindungi nasib rakyat, bukan memperkenalkan dasar yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.
“Apa yang diperlukan ketika ini ialah keberanian politik untuk mempertahankan kebajikan rakyat.
“Jangan berlindung di sebalik alasan teknikal atau kesalahan penguatkuasaan, sedangkan dasar yang digubal itu sendiri bercanggah dengan prinsip keadilan sosial,” ujarnya.
Beliau turut memberi amaran bahawa jika kerajaan terus berdegil dan gagal menarik balik larangan tersebut, Pemuda Pas Selangor tidak akan teragak-agak untuk melancarkan kempen kesedaran secara terbuka demi memperjuangkan hak peniaga kecil dan rakyat yang tertindas.
“Kami bersama rakyat. Kami tidak akan berdiam diri apabila rakyat terus dihimpit dan dizalimi atas nama penstrukturan subsidi yang tidak berjiwa,” tegasnya.
Mohamed Sukri juga menggesa kerajaan agar segera mengembalikan semula LPG bersubsidi kepada rakyat yang layak dan menghentikan segala bentuk tekanan terhadap golongan peniaga kecil yang semakin terhimpit dengan pelbagai cabaran ekonomi.