SHAH ALAM – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menuntut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, membuat permohonan maaf atas dakwaan kononnya beliau terlibat dalam meluluskan peraturan berkaitan kawalan bekalan ketika masih berada dalam Kabinet pada tahun 2021.
Ka Siong berkata, berdasarkan semakan Hansard Parlimen tahun 2021, pindaan ketika itu hanya bertujuan memberi kuasa penguatkuasaan lebih luas kepada pegawai KPDN.
Menurutnya, pindaan terhadap Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 (Akta A1622) tidak pernah bertujuan untuk mengawal penggunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi.
“Saya telah menyemak setiap ayat dalam Hansard Dewan Rakyat semasa perbahasan, yang mana ahli-ahli Parlimen seperti Jempol, Bayan Baru, Pasir Gudang, Jelutong, Kota Melaka, Bukit Bendera, Pokok Sena dan Sepang menyampaikan hujah mereka.
“Namun, tidak seorang pun Ahli Parlimen ketika itu menyentuh soal permit untuk tiga tong gas LPG bersubsidi atau penggunaan LPG komersial bagi kedai makan,” katanya menerusi hantaran video yang dimuat naik di Facebook pada Ahad.
Terdahulu, media melaporkan Armizan mengingatkan Ka Siong agar menyemak semula peraturan yang digubal semasa bekas Menteri Pengangkutan itu berada dalam Kabinet sebelum mengkritik kementeriannya.
Tambah Ka Siong, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika itu, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dalam jawapan Parlimen pada Mac 2022, juga tidak pernah menyebut tentang sebarang peraturan berkaitan tong gas bersubsidi.
“Datuk Armizan, buat apa hendak mereka cerita dan menuduh saya tanpa asas? Kamu tidak berada dalam Dewan Rakyat waktu itu tetapi boleh sahaja semak Hansard.
“Buatlah kerja rumah anda sebelum menuduh saya. Kamu menganiaya saya, tahu? Atau sekurang-kurangnya telefon sahaja YB Alexander untuk mendapatkan pengesahan. Mustahil YB tidak ada nombor telefon beliau? Saya boleh beri,” ujarnya.
Menurut Ka Siong lagi, Armizan juga boleh bertanya kepada Alexander secara bersemuka dalam mesyuarat Kabinet yang diadakan setiap minggu.
Beliau menegaskan bahawa Ahli Parlimen Papar itu tidak sepatutnya menuduh dirinya berhubung pindaan berkaitan keperluan untuk menyimpan lebih daripada tiga tong gas LPG bersubsidi, sekali gus mempersoalkan sumber maklumat menteri berkenaan.
Ka Siong menyatakan bahawa peraturan berkaitan penggunaan tong gas bersubsidi tidak melebihi 42 kilogram itu mungkin hanyalah arahan dalaman kementerian atau arahan pentadbiran, dan bukan sebahagian daripada pindaan tahun 2021.
Tambahnya, undang-undang tersebut tidak pernah dikuatkuasakan sehingga kali pertama ia dilaksanakan semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan 1.0 pada tahun 2019, sebelum cuba dilaksanakan semula melalui Ops Gasak pada tahun 2025.
Sehubungan itu, Ka Siong berpendapat bahawa Armizan perlu memohon maaf atas kekeliruan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap dirinya.
“YB Armizan, kamu patut mohon maaf kepada saya atas kekhilafan kamu sendiri. Saya, Wee Ka Siong, jurucakap rakyat yang tidak sepatutnya dikorbankan,” katanya.