Payung UMNO lebih besar payungi Melayu, bumiputera – Ahmad Maslan

PONTIAN – UMNO tidak pernah meninggalkan perjuangan untuk membela nasib Melayu dan bumiputera meskipun bekerjasama dengan pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perjuangan itu kekal utuh sejak penubuhan parti dan termaktub jelas dalam asas serta tujuan Perlembagaan UMNO.

“UMNO tidak pernah berhenti untuk memperjuangkan Melayu, sejak penubuhannya sehingga sekarang.

“Dengan siapa pun kita memerintah, kita tidak pernah meninggalkan perjuangan berkenaan kerana perkara itu termaktub dalam Perlembagaan UMNO,” katanya ketika ditemui pada Majlis Korban anjuran UMNO Bahagian Pontian di Kampung Parit Stan, Benut, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai inisiatif terbaharu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mahu menghimpunkan orang Melayu di bawah satu ‘payung besar’ melalui Sekretariat Orang Melayu.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu turut menegaskan bahawa walaupun UMNO kini bersama Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan, perjuangan untuk membantu Melayu dan bumiputera tetap diteruskan.

“Di Malaysia ini, dianggarkan Melayu seramai 70.1 peratus, Cina 22.6 peratus, India 6.6 peratus dan lain-lain 0.7 peratus.

“Perjuangan UMNO dalam mukadimah asas dan tujuan menyebut tentang Melayu bumiputera termasuk di Sabah, Sarawak serta Orang Asli,” katanya.

Tambah beliau, UMNO melihat kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan kini sebagai satu kelebihan untuk terus memperjuangkan kepentingan Melayu dan bumiputera secara lebih menyeluruh.

“UMNO ini bukan hanya memperjuangkan Melayu dan bumiputera, tetapi pada masa sama kita juga berjuang untuk kaum-kaum yang lain.

“UMNO tidak pernah berhenti berjuang sejak dahulu hingga sekarang. Walau siapa pun kita bersama dalam kerajaan, perjuangan itu tidak pernah kita tinggalkan,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan Tun Dr Mahathir yang kembali membawa agenda Melayu menerusi Sekretariat Orang Melayu, Ahmad menyifatkan ia sebagai sementara.

“Dulu Tun buat gagasan Melayu, tapi tidak lama. Ia hanya bertujuan politik.

“Payung kita lebih besar. Kita dalam Kerajaan Perpaduan ada 18 parti. Payung besar ini memayungi lebih ramai, termasuk bumiputera di Sabah, Sarawak, Orang Asli dan seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Ahmad turut menekankan komitmen kerajaan dalam memartabatkan ekonomi bumiputera melalui pelaksanaan Kongres Ekonomi Bumiputera.

“Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ulang tahun KEB baru-baru ini pula dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO.

“Ini bukti kita (UMNO) dalam kerajaan tidak berhenti bekerja untuk bumiputera,” katanya lagi.