Jawab kritikan pinjaman TVET lewat dengan fakta, bukan saman - Mas Ermieyati

SHAH ALAM- Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sepatutnya menjawab kritikan terbuka mengenai kelewatan dan kelemahan pinjaman Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah agensi itu dengan mengemukakan fakta dan bukan saman.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, berkata kritikan tersebut merupakan suara rakyat dan sekiranya beliau merasakan ia satu fitnah, maka sewajarnya dijawab dengan fakta.

"Ini adalah sebahagian daripada mesej-mesej dan aduan-aduan yang dikemukakan oleh rakyat kepada saya terutamanya ibu bapa serta para pelajar yang kecewa dengan ketidaktentuan masa depan pendidikan mereka.

"Saya suarakan sebagai ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat dan yang diberi amanah oleh rakyat. Ingin diingatkan bahawa Mara adalah institusi rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, Mas Ermieyati membuat kritikan secara terbuka terhadap Mara berhubung pinjaman TVET di bawah agensi berkenaan dan ia mendapat maklum balas Asyraf Wajdi.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati turut meminta Asyraf Wajdi menjawab persoalan-persoalan rakyat yang disenaraikannya.

"Adakah permohonan pinjaman pelajaran bagi pengambilan pelajar Mac 2025 secara online masih belum dibuka? Kenapa dan bilakah permohonan akan dibuka kembali?

"Bilakah Mara akan menyelesaikan isu pinjaman pelajar TVET Mara? Benarkah tiada bantuan TESP bagi tahun ini?

"Adakah perbelanjaan jelajah seluruh negara dan luar negara oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan atau rombongan menggunakan dana awam? Jika benar, berapakah jumlahnya dan siapa ahli rombongan yang mengikutinya?" soalnya lagi.

Mas Ermieyati juga kesal apabila Pengerusi Mara itu memilih untuk menggunakan peguam atau lantikan agensi berkenaan yang mana mereka sepatutnya bertanggungjawab untuk membela institusi dan hak serta kebajikan pelajar, bukannya untuk menyamannya secara peribadi.

"Ini bukan soal ego politik, ini soal nasib anak bangsa. Janganlah digunakan duit rakyat untuk tutup suara rakyat pula.

"Saya tidak akan sesekali gentar dengan ugutan saman seperti ini. Saya akan terus bersuara demi anak anak bumiputra, demi pelajar-pelajar TVET, demi rakyat Malaysia dan negara tercinta.

"Saya serahkan hal ini kepada proses undang-undang dan saya sedia hadapi dimana-mana medan termasuk di mahkamah, jika itu pilihannya demi Malaysia yang saya cintai," katanya.