SHAH ALAM – Pemimpin utama yang mendapat mandat akar umbi wajar diberikan kedudukan penting dalam Kabinet memandangkan hierarki atau kedudukan dalam kerajaan mencerminkan kedudukan dalam parti.
Penganalisis Politik dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Datuk Dr Jayum Jawan berkata, berdasarkan sistem dan amalan biasa yang dilakukan, pemimpin utama parti khususnya Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden serta ketua sayap diberikan keutamaan untuk menjawat jawatan di peringkat Pusat.
Justeru, beliau melihat Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen sepatutnya diberikan ruang sewajarnya sekiranya berlaku rombakan Kabinet.
“Kalau tanya siapa yang layak memasuki Kabinet, sudah tentu ketua-ketua parti, berdasarkan sistem atau amalan di negara ini. Misalnya kalau timbalan presiden menang, dia layak dan wajar dilantik ke jawatan yang penting.
“Nurul Izzah contohnya, kita tidak boleh nilainya semata-mata kerana beliau anak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi kerana beliau ialah Timbalan Presiden.
“Saya juga melihat ini peluang untuk DAP dan PKR memperkukuh kedudukan mereka di Sarawak dengan melantik Chieng Jen. Sarawak adalah link bagi PKR dan DAP yang paling lemah sebab mereka ada di negeri itu, tetapi wakilnya tidak diberikan kedudukan sewajarnya dalam kerajaan Madani, sama ada sebagai menteri atau timbalan menteri,” katanya.
Menurut Jayum, rombakan itu juga memberikan ruang buat Pakatan Harapan (PH) untuk menyusun semula barisan wakil mereka dalam kerajaan menjelang pilihan raya yang akan datang dalam tempoh dua tahun.
“Dalam situasi ini, saya lihat Anwar sebagai Presiden PKR dalam dilema, sama ada mahu ikut tuntutan suara akar umbi PKR ataupun guna sentimen untuk mengekalkan Rafizi dan sebagainya.
“Jadi, beliau perlu seimbangkan dua perkara ini untuk ke depan, dengan PKR menyusun langkah supaya PRU nanti, PKR berjaya,” jelasnya.
Dalam masa sama, Jayum berkata, DAP juga perlu menggunakan peluang rombakan Kabinet ini untuk memperkukuh kedudukan mereka dalam kerajaan, khususnya selepas berakhirnya dominasi keluarga Lim dalam parti itu.
“Kita tahu selepas pemilihan parti, sudah muncul satu golongan baharu yang menjauhkan diri daripada pengaruh keluarga Lim. Semua ahli keluarga Lim sudah terkeluar daripada arus perdana DAP.
“Ini DAP era Anthony Loke (Setiausaha Agung). Kita mahu akui atau tidak, Anthony dengan rakan-rakannya mendapat sokongan luar biasa daripada akar umbi DAP,” katanya.
Mengulas spekulasi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bakal dilantik sebagai menteri penuh, Jayum menyifatkan ia sebagai langkah wajar memandangkan pengalaman beliau memimpin kerajaan negeri.
“Kalau betul Amirudin dilantik ke Kabinet, itu dilihat sebagai satu kenaikan pangkat yang wajar. Saya lihat beliau layak dan bersedia untuk naik pangkat,” katanya.
Dalam masa sama, Jayum memuji langkah Rafizi dan Nik Nazmi meletak jawatan selepas kekalahan dalam pemilihan parti, yang disifatkan sebagai satu budaya yang jarang berlaku dalam politik Malaysia.
“Seharusnya kalau kalah, kena akur dan undur jika ada maruah diri dan integriti. Jangan tunggu sehingga Presiden minta turun atau meletakkan jawatan,” jelasnya.