Saranan elak persepsi buruk

SHAH ALAM - Pengumuman Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan menteri yang disandang susulan gagal mempertahankan jawatan dalam pemilihan PKR baru-baru ini sememangnya dijangka banyak pihak.

Ini kerana, Rafizi sendiri menyatakan kesediaan untuk berbuat demikian sekiranya beliau tewas dalam pertembungan perebutan jawatan nombor dua parti itu dengan Nurul Izzah Anwar yang juga anak kepada Presiden parti.

Tumpuan kini adalah terhadap isu rombakan Kabinet dan siapa yang bakal menggantikan tempat yang ditinggalkan itu.

Antara nama yang disebut-sebut ialah Nurul Izzah dan Naib Presiden PKR yang baharu, Datuk Seri R Ramanan untuk mengisi tempat berkenaan.

Felo Penyelidik, Unit Literasi dan Advokasi Politik, Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengelak daripada melantik Nurul Izzah Anwar menganggotai barisan Kabinet baharu sekiranya berlaku rombakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, jika Nurul Izzah yang sinonim dengan jolokan Puteri Reformasi itu dilantik ia memberi beban kepada kerajaan untuk menangani persepsi ‘anak-beranak’ berada dalam Kabinet.

“Nurul Izzah sebelum ini telah nyatakan bahawa beliau tidak berminat untuk menganggotai Kabinet jika beliau menang kerusi Timbalan Presiden PKR. Sangat penting untuk beliau mengotakan kata-kata tersebut.

“Jika beliau dilantik menyertai Kabinet, akan ada banyak polemik yang timbul dan banyak kerja yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk menangani persepsi negatif kepada Perdana Menteri memandangkan sebelum ini PKR dilabel sebagai parti anak beranak,” katanya kepada Sinar Harian.

Menjawab soalan sama ada rombakan Kabinet akan dibuat secara keseluruhan atau hanya melibatkan dua kementerian sekiranya Rafizi dan Nik Nazmi kekal dengan pendirian untuk berundur, Mohd Yusri menjangkakan ia tidak hanya melibatkan dua portfolio tersebut.

“Sekiranya peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi diterima, saya jangkakan ada rombakan Kabinet, bukan sekadar pengisian dua kementerian tersebut. Pertama pengisian jawatan menteri untuk mana-mana kementerian akan ditentukan mengikut kesesuaian dan kepakaran seseorang calon.

“Kedua, Naib Presiden, Ramanan berstatus timbalan menteri. Atas dasar hieraki dalam parti mungkin beliau akan dinaik pangkat jadi menteri penuh, jawatan beliau sebagai timbalan menteri akan berlaku kekosongan, perlu rombakan juga untuk pengisian baru,” katanya.

Ditanya desas-desus mengenai kemungkinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mendapat undi tertinggi dalam kalangan empat Naib Presiden PKR yang dipilih baru-baru ini akan berpindah menyertai barisan Kabinet baharu, beliau tidak menolak perkara tersebut boleh berlaku.

Namun katanya, perkara yang menjadi fokus ketika ini bukan mengenai Amiruddin tetapi lebih kepada ke mana Nurul Izzah yang memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR ditempatkan.

Beliau berkata, jika Nurul Izzah tidak menyertai Kabinet, antara pilihan yang boleh dipertimbangkan adalah melantik anak sulung kepada Anwar itu menjadi Menteri Besar Selangor.

“Jika parti memutuskan beliau (Nurul Izzah) akan jadi Menteri Besar Selangor, sudah pasti Amirudin yang berstatus naib presiden akan dibawa ke Kabinet,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi turut berpandangan kemungkinan besar rombakan Kabinet tidak hanya tertumpu kepada kementerian yang diterajui Rafizi dan Nik Nazmi jika kedua-dua tokoh politik tersebut kekal dengan keputusan untuk melepaskan jawatan.

Menurutnya, secara praktikal, peletakan jawatan dua menteri kanan berkenaan memberi ruang kepada Anwar untuk menyusun semula pasukan pentadbiran secara strategik termasuk menyemak semula prestasi keseluruhan Kabinet sedia ada.

Ditanya mengenai nama Nurul Izzah antara yang disebut-sebut menggantikan Rafizi di Kementerian Ekonomi, Hussain Yusri berkata, dari sudut akademik bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mempunyai kelayakan, namun perlatikan beliau boleh menimbulkan perdebatan awam.

Ini kerana katanya, PKR ketika ini ‘terpalit’ dengan isu nepotisme dan dominasi keluarga susulan kemenangan Nurul Izzah dalam jawatan nombor dua parti terbabit.

“Nurul Izzah memiliki pengalaman politik yang luas dan penglibatan beliau dalam sektor pemerkasaan wanita serta reformasi institusi menjadikan beliau calon berpotensi.

“Namun demikian, aspek persepsi awam tidak boleh diketepikan dan perdana menteri perlu menimbang keseimbangan antara kepentingan politik, persepsi rakyat dan keperluan dasar dalam membuat keputusan tersebut,” katanya.