SHAH ALAM – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dan empat Naib Presiden PKR dilantik mengetuai jentera parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Biro Politik PKR dalam kenyataan berkata, Nurul Izzah serta Naib Presiden iaitu Datuk Seri Amirudin Shari, Datuk Seri Aminuddin Harun, Chang Lih Kang dan Datuk Seri Ramanan Ramachandran diberikan tugasan khusus bagi memastikan kemenangan parti dan rakan-rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan Madani.
“Perbincangan mesyuarat menjurus kepada PRN Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi. Tumpuan parti pada ketika ini adalah memastikan kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya tersebut.
“Timbalan Presiden serta semua Naib Presiden telah diberikan tugasan khusus bagi memastikan kemenangan parti dan rakan-rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan Madani,” katanya dalam kenyataan media selepas Mesyuarat Biro Politik bagi sesi 2025–2028, pada Khamis.
Mesyuarat julung kali itu dipengerusikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Biro Politik PKR memaklumkan, mantan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud akan terus menjalankan tugas sebagai Pengerusi Negeri Sabah sementara menunggu pelantikan barisan kepimpinan MPN baharu bagi memastikan kelangsungan persediaan menghadapi pilihan raya.
“Dalam konteks sama, Datuk Peto Galim juga akan meneruskan tanggungjawab beliau sebagai Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri (JPRN) Sabah,” katanya.
Kenyataan tersebut turut menyatakan bahawa hasil mesyuarat menetapkan Dr. Fuziah Salleh dan William Leong terus menjalankan tugas masing-masing sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari Agung sehingga barisan kepimpinan baharu dilantik dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat kelak.
Dalam pada itu, Biro Politik PKR berkata, mesyuarat tersebut turut mengambil kira siri pelaksanaan dasar-dasar yang bakal dibawa oleh pihak eksekutif serta impak terhadap kos sara hidup rakyat.
“Langkah-langkah susulan turut diperhalusi bagi memastikan manfaat kepada rakyat sentiasa menjadi keutamaan parti,” tambah kenyataan itu.