JOHOR BAHRU - Pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan sesama rakan gabungan.
Ketua Cabang Keadilan Tenggara, Mohd Fakharuddin Moslim berkata, kenyataan yang dikeluarkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkaitan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli disifatkan sebagai tidak wajar serta boleh menjejaskan keharmonian dalam gabungan kerajaan sedia ada.
“Proses pemilihan PKR adalah urusan dalaman parti dan tidak ada kaitan langsung dengan UMNO atau mana-mana komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Puad dilaporkan berkata, tindakan Rafizi Ramli melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi menyelamatkannya daripada menjadi mangsa kerat 2.0 dalam PKR.
Puad turut mendakwa, reputasi pemilihan PKR ‘dikoyak’ oleh Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR.
Mengulas lanjut, Fakharuddin menyifatkan tindakan Puad itu sebagai cubaan memburukkan imej Rafizi secara konsisten, hingga menimbulkan tanggapan seolah-olah beliau terlalu taasub terhadap figura tersebut.
“Sikap ini menggambarkan seolah-olah beliau obsesi mahu menjadi ‘Menteri Hal Ehwal Rafizi’,” dakwanya.
Tegas beliau, sebagai anggota Kerajaan Perpaduan, semua pihak perlu saling menghormati antara satu sama lain dan mengelak daripada mengeluarkan kenyataan berunsur peribadi yang boleh menggugat kestabilan politik negara.
“Kenyataan sebegini hanya membuka ruang kepada pihak lawan untuk memecahbelahkan kesatuan yang telah dibina bersama demi kestabilan negara,” katanya lagi.