KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengambil maklum pandangan pimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah dalam menentukan hala tuju untuk membuat keputusan berkaitan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Beliau yang juga Pengerusi PH berkata, pandangan itu diambil susulan keputusan untuk menyerahkan sepenuhnya pengendalian PRN kepada PH Sabah.
"Saya ambil kesempatan dengar pandangan daripada PH Sabah yang akan menentukan keutamaan strategi, manifesto, kawasan yang dalam rundingan dengan rakan-rakan sama ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau Barisan Nasional (BN) sebelum memutuskan cadangan-cadangan kawasan dan calon.
"Jadi itu tujuan saya mendengar pandangan mereka agar ia dapat dibawa untuk perhatian rakan-rakan di peringkat Pusat kerana keputusan kita adalah untuk menyerahkan pengendalian PRN ini kepada PH Sabah," katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan pertemuan dengan pimpinan PH Sabah di sini pada malam Khamis.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat demi membela nasib rakyat Sabah yang memerlukan hubungan lebih erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
"Saya yakin, jika kita benar-benar mahu membela nasib negeri dan rakyat Sabah, hubungan antara negeri dan Persekutuan perlu lebih erat dan saling mempercayai, seperti mana hubungan kita dengan negeri lain dan sekarang yang meningkat, lebih baik dengan Sarawak.
"Hubungan yang kukuh ini penting dan sebab itu saya mengusulkan supaya rakyat Sabah menilai kepentingan untuk mewujudkan jaringan yang lebih kukuh antara Sabah dan kerajaan Persekutuan," katanya.
Ditanya mengenai siapa yang akan mengetuai rundingan tersebut, Anwar menjelaskan bahawa PH Sabah mempunyai empat ketua daripada empat parti dalam gabungan dan ia akan diselaraskan oleh Pengerusi PH Sabah, Datuk Ewon Benedick.
"PH Sabah ada empat ketua, mereka akan ke depan dan menyelaraskan keputusan bersama. Sekarang ini mesyuarat semua berjalan.
"Kita tidak rasa ada masalah kerana mereka keempat-empat ke depan dan Datuk Ewon boleh selaraskan," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perbincangan rasmi dengan GRS, beliau memaklumkan bahawa perkara tersebut turut akan dikendalikan oleh PH Sabah.
"Perbincangan itu dibuat di peringkat negeri. Saya hanya memberikan sokongan. Saya telah bertemu Datuk Seri Hajiji Noor (Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS), kita menyokong apa yang dicadangkan oleh PH. Begitu juga apabila saya bertemu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Pengerusi BN), kita menyokong tuntutan PH," jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa ruang perbincangan politik antara PH serta kedua pihak iaitu GRS dan BN sentiasa terbuka.
"Kita mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua pihak dan setakat ini saya faham tiada ruang yang ditutup untuk berbincang.
"Dalam apa-apa bentuk kerjasama politik, ruang perbincangan itu penting kerana matlamat utama kita ialah memastikan sistem politik yang stabil serta hubungan yang erat dengan kerajaan Persekutuan," katanya.