KOTA KINABALU - Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyelar naratif yang terus dimainkan pemimpin politik kononnya hanya parti tempatan mampu membela nasib rakyat negeri ini.
Beliau sebaliknya melihat, pemimpin parti tempatan gagal dalam menyatukan suara politik tempatan walaupun sering melaungkan perjuangan atas nama parti tempatan.
"Saya menghargai semangat perjuangan tempatan yang menjadi sebahagian daripada landskap politik Sabah.
"Namun, semangat semata-mata tidak cukup tanpa kejujuran politik, kematangan strategi dan kesatuan tindakan.
"Hari ini, kita masih mendengar 'lagu lama' daripada Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, bahawa hanya parti tempatan mampu membela Sabah, sedangkan nada lagu itu sendiri sudah retak," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu berkata, rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat 30 September 2024 menunjukkan terdapat 19 parti tempatan berdaftar di Sabah.
"Jika benar beliau jujur memperjuangkan suara tempatan, kenapa masih gagal menyatukan 19 parti ini di bawah satu panji?" soalnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Jeffrey pernah menjadi ahli UMNO pada tahun 2003 sebelum menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2006.
"Realitinya, gagasan ‘parti tempatan’ yang dibawa beliau hanyalah topeng untuk survival politik peribadi, termasuk menumpang pentas parti nasional yang sebelum ini dikritiknya sendiri," katanya.
Jelas Bung Moktar lagi, UMNO Sabah tidak akan tunduk kepada permainan emosi yang disifatkan hanya akan mengelirukan rakyat.
"Kami percaya kekuatan Sabah bukan pada usaha memencilkan diri tetapi melalui kebijaksanaan menjalin kerjasama dalam struktur nasional.
"Gabungan seperti BN mampu membawa pembangunan besar, mempertahankan hak negeri melalui saluran persekutuan dan menjamin kestabilan jangka panjang," ujarnya.
Katanya, rakyat perlu menilai berdasarkan pencapaian, bukan sekadar pidato penuh emosi.
"UMNO Sabah tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi kami bawa pengalaman, kestabilan dan keupayaan mentadbir.
"Sabah bukan tempat uji kaji politik individu atau pentas drama bertopengkan semangat kenegerian.
"Ia memerlukan pemimpin yang tahu membezakan antara kuasa dan tanggungjawab, antara suara rakyat dan keinginan peribadi," tegasnya.