SHAH ALAM - Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan dilihat individu paling sesuai untuk mengisi kekosongan salah satu daripada dua jawatan menteri dalam Kabinet Kerajaan Madani ketika ini, kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan pihaknya susulan terdapat kewajiban kerajaan semasa untuk melantik segera dua kekosongan jawatan menteri yang berlaku pada Rabu.
"Wajib lantik segera Menteri untuk isi dua kekosongan yang berlaku hari ini. (Ahli Parlimen Sungai Buloh) Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan antara calon paling sesuai," katanya ringkas.
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merupakan satu-satunya pemimpin muka baharu yang berjaya memenangi salah satu daripada empat slot jawatan Naib Presiden PKR yang dipertandingkan pada pemilihan parti berkenaan baru-baru ini.
Terdahulu, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli lebih awal mengumumkan keputusan peletakan jawatannya berkuatkuasa 17 Jun depan, diikuti Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkuat kuasa 4 Julai ini.
Keputusan itu dibuat Rafizi dan Nik Nazmi atas alasan mereka tidak lagi mendapat mandat parti susulan kekalahan bagi pertandingan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR.
Rafizi menjelaskan langkah itu diambil sebagai menghormati prinsip kebertanggungjawaban dan mandat rakyat yang menjadi tunjang perjuangannya dalam politik sejak awal penglibatan.
Sementara itu, Nik Nazmi memaklumkan keputusan tersebut susulan kegagalannya mempertahankan jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti baru-baru ini.