JOHOR BAHRU - Tindakan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli meletakkan jawatannya selepas tewas dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya sekadar lakonan politik untuk melarikan diri daripada kegagalan sendiri.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Johor Bahru, Ahmad Solehin Abd Ghani berkata, ramai yang teruja dan memuji langkah tersebut kononnya sebagai simbol prinsip dan integriti, namun hakikatnya ia adalah taktik mencipta persepsi semata-mata.
“Rakyat jangan mudah terpedaya. Inilah modus operandi bekas propaganda utama Pakatan Harapan (PH) yang cuba mencipta naratif kononnya beliau bermaruah, sedangkan sebenarnya ingin mencuci tangan daripada tanggungjawab yang tidak mampu ditunaikan.
“Setelah bertahun menyebar fitnah, menghasut rakyat serta menyerang pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN), akhirnya apabila diberi peluang menjadi menteri, Rafizi gagal sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan, Rafizi dalam memaklumkan telah menghantar surat peletakan jawatan dari Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri berkuat kuasa mulai 17 Jun 2025.
Beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025.
Pada masa sama, baru-baru ini, Rafizi yang menyandang jawatan sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tewas pada pemilihan parti itu apabila kemenangan berpihak kepada Nurul Izzah Anwar.
Mengulas lanjut Ahmad Solehin berkata, tidak ada satu pun janji besar yang dikemukakan Rafizi ketika berkempen berjaya direalisasikan, termasuk isu berkaitan kos sara hidup, kenaikan gaji dan reformasi ekonomi.
“Jika benar beliau berprinsip, kenapa tidak meletakkan jawatan lebih awal? Perdana Menteri sendiri tidak memecatnya.
“Ini bukan soal prinsip, sebaliknya beliau melarikan diri daripada beban yang tidak mampu dipikul,” katanya.
Ahmad Solehin turut menyentuh pengakuan Rafizi sendiri yang menyatakan beliau tidak selesa dan tidak serasi memegang jawatan sebagai menteri.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan UMNO dan BN supaya tidak mudah terpedaya dengan naratif kononnya tindakan Rafizi itu berasaskan prinsip yang mulia.
“Bukankah itu pengakuan kegagalan yang nyata? Rakyat memberi amanah, tetapi beliau menganggapnya sebagai beban. Di mana tanggungjawab terhadap negara?
“Rafizi bukan wira, sebaliknya simbol kegagalan seorang pemimpin yang hanya pandai mencipta persepsi, tetapi gagal dalam penyampaian dasar.
“Akhirnya, watak Rafizi hanyalah seorang ahli politik yang petah berbicara, tetapi gagal bekerja. Bukan prinsip yang ditinggalkan, tetapi tanggungjawab,” katanya.