SHAH ALAM – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui bahawa beliau belum terfikir untuk menyertai mana-mana parti lain bagi menyambung semula kerjaya politiknya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Bagaimanapun, menurut bekas Ahli Parlimen Rembau itu, beliau tidak menafikan menerima banyak pelawaan daripada parti selain UMNO.
“Macam nasihat saya kepada Datuk Seri Rafizi Ramli supaya kekal bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR), tidak perlu tubuh parti sendiri atau sertai parti lain... begitu juga saya.
“Saya belum terfikir untuk menyertai parti lain walaupun menerima pelawaan daripada pelbagai pihak. Bagi saya, itulah perjuangan dan landasan politik saya sejak dahulu.
“Jadi, saya tunggulah sekiranya suatu ketika nanti... suka sama suka, jika Majlis Kerja Tertinggi UMNO menerima semula ahli yang telah dipecat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika mengadakan kunjungan ke Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.
Turut hadir, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin.
Pada Disember tahun lalu, Khairy menzahirkan 'syarat' tersendiri sekiranya ingin kembali kepada UMNO, iaitu beliau tidak akan mengorbankan idealisme yang menjadi pegangannya.
Menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, beliau tidak berniat untuk ‘berlawan’ dengan sesiapa dalam UMNO, sebaliknya menyatakan hasrat untuk melihat parti tersebut menjadi lebih baik.
Ujar Khairy lagi, beliau masih menganggap dirinya sebagai ahli UMNO meskipun telah dipecat daripada parti pada Januari 2023.