SEPANG – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan beliau tidak mahu mencampuri urusan dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR), termasuk hal berkaitan kekosongan jawatan Menteri Ekonomi yang bakal ditinggalkan oleh Datuk Seri Rafizi Ramli.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO turut menolak sebarang spekulasi yang mengaitkan namanya sebagai pengganti Rafizi dan menegaskan bahawa perkara itu berada di bawah bidang kuasa dan hak PKR sepenuhnya.
“Saya tidak mahu campuri urusan PKR.
“Kekosongan jawatan Rafizi melibatkan PKR dan tiada keperluan untuk saya mencampuri urusan parti berkenaan.
“Itu PKR... Jadi saya tidak masuk campur,” katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran Projek Rintis Penggunaan Biodiesel Sawit B20 bagi Kenderaan Perkhidmatan Darat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada Khamis.
Pada Rabu, Rafizi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun 2025, manakala Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad turut mengambil langkah sama yang akan berkuat kuasa pada 4 Julai 2025.
Kedua-dua menteri terbabit meletakkan jawatan susulan kekalahan dalam pemilihan PKR dan telah menyerahkan surat peletakan jawatan masing-masing kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum memulakan cuti berkuat kuasa semalam.
Mengulas mengenai pengisian dua jawatan menteri yang bakal dikosongkan, Johari memaklumkan bahawa setakat ini tiada sebarang perbincangan rasmi di peringkat Kabinet berhubung perkara tersebut.
“Tiada (belum ada mesyuarat Kabinet membincangkan perkara membabitkan dua jawatan menteri),” katanya ringkas.