KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa kerajaan mempertimbangkan semula keputusan melarang peniaga kecil menggunakan gas memasak bersubsidi yang disifatkan sebagai langkah tergesa-gesa dan membebankan rakyat.
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, keputusan kerajaan itu tidak mencerminkan pendekatan berjiwa rakyat seperti yang dilaungkan melalui konsep Malaysia Madani, sebaliknya bertindak seolah-olah "membunuh ayam untuk mendapatkan telur".
Tegasnya, kerajaan seharusnya mencari jalan penyelesaian yang lebih adil dan menyeluruh, termasuk menurunkan harga tong gas komersial yang kini mencecah RM70, kepada sekitar RM35 melalui pemberian subsidi bersasar.
“Kerajaan ada pilihan. Kalau mampu menetapkan dua harga berbeza untuk bahan api, kenapa tidak untuk gas memasak? Sekurang-kurangnya beri tempoh peralihan kepada peniaga kecil untuk menyesuaikan diri.
“Tindakan memaksa ini hanya akan menyebabkan peniaga menaikkan harga makanan, dan akhirnya pengguna juga yang terbeban,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dominic turut mempersoalkan keikhlasan kerajaan dalam mendengar suara rakyat apabila dilihat tidak berbincang dengan pihak berkepentingan, terutamanya persatuan peniaga, sebelum melaksanakan dasar tersebut.
Beliau juga menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini lantang mengecam golongan kaya, namun dalam masa sama menekan peniaga kecil dengan pelbagai beban termasuk pelaksanaan e-invois yang dijangka bermula tidak lama lagi.
“Tidak semua peniaga mampu menjana pendapatan RM30,000 sebulan seperti peserta inisiatif MyKiosk oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan. Hakikatnya, ramai yang terpaksa menyerap sendiri kenaikan harga bahan mentah.
“Jika harga gas pula meningkat hampir tiga kali ganda, dari RM26 kepada RM70, apa pilihan yang mereka ada selain memindahkan kos itu kepada pelanggan?” soalnya.
Tambahnya, jika kerajaan boleh menyalurkan subsidi diesel kepada syarikat pengangkutan, tidak ada alasan untuk tidak membantu peniaga kecil dengan cara yang sama dalam isu gas memasak.
“Peniaga kecil dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sudah cukup terbeban. Jangan tambah tekanan dengan dasar-dasar yang tidak mengambil kira realiti sebenar mereka,” ujarnya.
Dominic turut mengingatkan kerajaan supaya benar-benar mendengar dan mengambil kira pandangan rakyat sebelum menggubal sebarang dasar, khususnya yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil.