KOTA KINABALU – Rakyat di negeri ini diseru agar terus bersama kerajaan sebagai rakan kongsi dalam memperkukuh perpaduan serta mengekalkan kestabilan politik demi kesejahteraan dan kelancaran pembangunan Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut menyeru rakyat agar sentiasa menghormati perbezaan demi membina ikatan perpaduan yang lebih kukuh.
“Pesta Kaamatan yang disambut setiap tahun pada bulan Mei bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama, tetapi juga bagi menyatakan rasa kesyukuran atas hasil tuaian yang baik.
“Namun, ia lebih daripada itu. Kaamatan adalah cerminan keharmonian dan semangat muhibah dalam kalangan rakyat Sabah, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai kemanusiaan, saling menghormati dan kebersamaan,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Pesta Kaamatan 2025, di sini pada Khamis.
Bertemakan 'Kaamatan Untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan', beliau berkata tema ini membawa mesej yang sangat mendalam dan inklusif.
“Tema ini jelas menyatakan bahawa Pesta Kaamatan bukan hanya milik satu komuniti, tetapi satu perayaan bersama yang merangkumi semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan, Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan kepada seluruh masyarakat yang meraikannya,” katanya.