Peguam dakwa peletakan jawatan menteri kerana kalah pemilihan parti tindakan tidak berpelembagaan

SHAH ALAM - Tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi atas alasan kalah dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) disifatkan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Peguam, Dr Zulqarnain Lukman berkata, pelantikan dan pemecatan menteri adalah hak mutlak Perdana Menteri, bukan berdasarkan keputusan pemilihan parti.

“Alasan meletakkan jawatan kerana kalah pemilihan parti tidak menepati kehendak Perlembagaan. Yang berkuasa melantik dan menggugurkan menteri ialah Perdana Menteri, bukannya parti atau individu itu sendiri.

“Dalam kes Anwar Ibrahim v. Perdana Menteri Malaysia [2010] 1 MLRA 386, Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong mesti bertindak atas nasihat Perdana Menteri dalam soal pelantikan atau pemecatan menteri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, keputusan pemilihan parti hanya melibatkan jawatan dalam struktur dalaman PKR dan tidak mempunyai kesan terhadap jawatan dalam Kabinet.

“Perlembagaan PKR tidak menetapkan bahawa kekalahan dalam pemilihan Timbalan Presiden mengakibatkan seseorang itu perlu meletakkan jawatan dalam kerajaan. Jika perlu, perkara itu harus diputuskan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP),” katanya.

Justeru, katanya, Rafizi sepatutnya menyerahkan surat kepada MPP terlebih dahulu untuk mendapatkan ketetapan rasmi atau menyerahkan hal itu kepada Perdana Menteri untuk diputuskan.

“Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada MPP yang meminta Rafizi meletakkan jawatan. Maka tindakan beliau dilihat bertentangan dengan prinsip kolektif Kabinet.

“Sebagai Ahli Parlimen dan anggota Kabinet, setiap keputusan perlu dibuat mengikut kerangka undang-undang. Tindakan di luar batas Perlembagaan boleh menimbulkan kecanggungan dan bakal direkodkan dalam sejarah,” katanya.

Rafizi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi beberapa hari selepas tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR pada Pemilihan 2025.