JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengemukakan permintaan untuk bertanding di 13 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berbincang dengan rakan-rakan dalam gabungan bagi menentukan agihan kerusi.
“Untuk PRN Sabah, sasaran minimum kita adalah 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Saya telah meminta Presiden untuk berunding mengenai kerusi-kerusi ini.
“Oleh itu, saya menyeru pasukan dari seluruh negara termasuk dari Pulau Pinang, Selangor, Johor dan negeri-negeri lain supaya turun membantu. Yang paling penting, kita mesti menang sebagai satu gerakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada hari terakhir Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Nurul Izzah menegaskan bahawa proses reformasi dalaman parti perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berprinsip, dengan menjadikan demokrasi sebagai tunjang utama.
“Pengalaman Parti Komunis China dalam membanteras rasuah wajar dijadikan contoh, terutamanya dari segi ketegasan mereka dalam melaksanakan tindakan undang-undang, termasuk terhadap pemimpin tertinggi sendiri.
“Mereka melihat serangan terhadap rasuah ini sangat serius, hingga ke tahap mendakwa kepimpinan kanan dalam parti,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menekankan usaha memperkenalkan bakat baharu ke dalam parti harus disertai proses saringan yang ketat, bagi memastikan individu yang dipilih benar-benar layak serta bebas daripada sebarang rekod jenayah atau salah laku.
“Kalau bakat itu baik, sudah tentu kita boleh teliti menurut sistem. Tetapi jika ada rekod pecah amanah atau jenayah, kita perlu lebih berhati-hati agar tidak menambah beban kepada parti,” ujarnya.
Tambah beliau, langkah pembaharuan dalam tempoh 24 bulan akan datang perlu berpandukan garis panduan dan tatacara yang jelas bagi memastikan impak positif terhadap demokrasi dan struktur keanggotaan parti.
Nurul Izzah turut memetik pendekatan DAP yang hanya menerima ahli baharu dengan sokongan dan pengesahan daripada ahli sedia ada yang telah dikenali, sebagai contoh mekanisme tapisan yang berkesan.
“Kita bukan mahu meniru sepenuhnya pendekatan mereka, tetapi prinsip saringan itu boleh dijadikan perbandingan agar parti kita tidak mudah dimasuki oleh mereka yang hanya berkepentingan,” katanya.
Beliau menzahirkan harapan agar setiap pembaharuan yang dilaksanakan akan menjamin kekuatan dan ketelusan PKR dalam menghadapi cabaran politik masa hadapan dengan lebih yakin serta berintegriti.