Pemilihan Nurul Izzah simbol pengukuhan suara wanita

SHAH ALAM – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar diramal bakal menggantikan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi dalam rombakan Kabinet yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.

Penganalisis politik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Mohamad Hafis Amat Simin berkata, walaupun Nurul Izzah dilihat berpotensi besar untuk mengambil alih portfolio tersebut, beliau perlu terlebih dahulu dilantik sebagai Senator memandangkan bukan merupakan ahli Parlimen.

Menurutnya, pelantikan sebagai Senator bukan sahaja membuka laluan untuk Nurul Izzah menyertai Kabinet sebagai menteri penuh, malah langkah itu turut dilihat sebagai usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkukuh suara wanita dalam pembangunan negara dan sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Saya jangka lebih 80 peratus kemungkinan beliau akan dilantik Senator dan kemudian menyertai barisan Kabinet sebagai menteri penuh.

“Tak mustahil. Pandangan saya, akan berlakunya rombakan dalam masa terdekat untuk menempatkan Nurul Izzah dalam barisan Kabinet negara.

“Kita perlu melihat kepimpinan beliau dalam konteks pentadbiran negara, jadi saya nampak Nurul Izzah sesuai diletakkan di Kementerian Ekonomi bagi menggantikan Rafizi untuk jangka masa yang lama...sebab sekarang pun beliau ialah penasihat bagi Menteri Kewangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, detik bersejarah tercipta dalam PKR apabila Naib Presiden, Nurul Izzah menewaskan penyandang, Rafizi sekali gus menjadi wanita pertama dipilih memegang jawatan Timbalan Presiden parti itu.

Keputusan rasmi bagi jawatan Timbalan Presiden PKR diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dalam Kongres Nasional Keadilan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohamad Hafis berkata, kemenangan besar Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR turut menjadi petanda bahawa ahli akar umbi mahukan nafas baharu dalam parti itu.

“Akar umbi mahukan perubahan atau nafas baharu dalam pemilihan kali ini. Daripada segi imej parti, saya nampak ada satu wajah baharu yang nak dibawa oleh parti itu, khususnya dalam mengetengahkan suara wanita.

“Kalau nak dibandingkan dengar parti lain, PKR ada keberanian untuk menaikkan calon suara wanita sebagai Timbalan Presiden dan kerana itu adanya penerimaan besar dalam kalangan ahli mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, pemilihan Nurul Izzah secara tidak langsung mencerminkan bahawa majoriti ahli menyokong kepimpinan Anwar sebagai pemimpin PKR dan negara.

“Undian yang diterima Rafizi nampak ada satu penolakan besar dalam PKR dan memilih Nurul Izzah...mereka juga meletakkan harapan kepada beliau supaya membawa hala tuju PKR dengan lebih baik untuk menghadapi PRU16.

“Dan untuk pastikan kepimpinan Anwar dilihat, mengimbangi antara peranan lelaki dan wanita dalam konteks pembangunan negara,” kata Mohamad Hafis.

**media[3140917]**

Sementara itu, Penganalisis Politik & Media Sosial dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, pelantikan Nurul Izzah bukan sekadar strategi politik, tetapi juga boleh menjadi simbol pengukuhan peranan wanita dalam kepimpinan negara.

Beliau berkata, kemenangan besar Nurul Izzah dalam pemilihan parti membuka ruang kepada penyokong PKR untuk melihat wajah baharu yang mampu memperkukuh arah tuju parti dan menambah keyakinan dalam kalangan pengundi muda dan wanita.

“Refleksi ini bukan merujuk kepada personaliti malah tahap keupayaan untuk menerajui sesuatu portfolio dan juga sejauh manakah dapat menyelesaikan masalah rakyat.

“Apa yang difikirkan rakyat adalah perlunya pemimpin mencari kaedah terbaik untuk menangani peningkatan kos sara hidup yang semakin membebankan.

“Walaupun terdapat persepsi yang cuba menyangkal dan mengaitkan dengan isu parti anak-beranak, namun peluang tetap wajar diberikan kepada individu baharu, apatah lagi jika beliau seorang wanita,” jelasnya.

Sara turut menjangka Nurul Izzah akan menjadi model teladan kepada wanita muda dalam suasana semasa yang menyaksikan peningkatan kes keganasan rumah tangga, ibu tunggal dan kadar jenayah dalam kalangan wanita.

“Saya percaya Nurul Izzah akan memperjuangkan hak-hak wanita di sini,” ujarnya.