ALOR SETAR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini berada di persimpangan yang sangat genting dalam sejarah perjuangannya, selepas pemilihan parti itu memperlihatkan kelesuan ketara kalangan ahlinya.
Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, jumlah peratusan ahli parti memilih untuk tidak mengundi dalam pemilihan memberi petunjuk jelas bahawa kepercayaan terhadap kepimpinan sedia ada semakin terhakis.
Fenomena ‘ponteng undi’ tidak boleh dilihat keengganan individu untuk terlibat semata-mata, sebaliknya ia merupakan satu bentuk protes senyap.
“Pemilihan jawatan Timbalan Presiden menyaksikan jumlah undi yang hilang dalam angka yang signifikan, sekaligus mencetuskan persoalan tentang tahap kesatuan dalam parti dan hala tuju sebenar PKR.
“Dalam politik, tidak keluar mengundi membawa makna lebih lantang berbanding sepatah rungutan lisan. Apabila majoriti ahli yang layak memilih untuk tidak memangkah, mesejnya jelas, ada sesuatu yang tidak kena dalam parti,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Ahmad Zaharuddin Sani menyifatkan hilangnya lebih 60 peratus undi dalam proses pemilihan tersebut merupakan satu persoalan besar.
“Adakah pemilih abaikan tanggungjawab mereka, atau ini manifestasi protes senyap terhadap kepimpinan PKR. Adakah mereka terlalu kecewa dengan kepimpinan atau memprotes terhadap arah PKR yang dilihat kurang jelas. Keputusan itu boleh dilihat sebagai ‘undi tidak percaya’ secara senyap terhadap kepimpinan,” jelasnya.
Beliau berkata, PKR kini berdepan kemelut dalaman lebih besar, iaitu krisis identiti.
“Di satu sisi, parti ini cuba menyesuaikan diri sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan supaya tidak terpinggir dalam percaturan kuasa politik negara.
“Di pihak lain, PKR kelihatan keliru dan seolah semakin jauh daripada nilai reformasi yang menjadi asas penubuhannya pada 1998.
“Pemilihan ini juga menyaksikan PKR sedang membina ‘barisan baharu’, yang lebih fokus untuk mengekalkan kuasa Perdana Menteri dalam tempoh sepenggal, berbanding visi jangka panjang untuk kukuhkan agenda parti,” jelasnya.
Menurutnya lagi, rakyat mahupun penyokong PKR yang dahulu meletakkan harapan tinggi terhadap parti ini, kini mula mempersoalkan agenda parti itu.
Rakyat mahu perubahan
“Harapan kepada PKR bukanlah sekadar menjaga survival individu atau memastikan kelangsungan kuasa politik semata-mata. Rakyat mahukan perubahan, namun dengan corak permainan politik yang semakin bersifat konservatif, PKR dilihat kehilangan naratif perubahan yang suatu ketika dahulu menginspirasikan rakyat.
“Kesannya, PKR bukan sahaja dilihat gagal meyakinkan rakyat, tetapi gagal menyatukan ahlinya sendiri,” katanya.
Ahmad Zaharuddin Sani berkata, sekiranya PKR benar-benar ingin kekal relevan dalam landskap politik tanah air, parti itu mesti berani membuat perubahan dan kembali kepada akarnya, iaitu nilai-nilai reformasi, integriti dan keadilan yang suatu ketika dahulu berjaya menggerakkan gelombang rakyat.
“PKR wajar memikirkan semula keutamaan dan strategi mereka. Jika tidak, parti ini mungkin berakhir sebagai ‘panggung drama politik’, tanpa sebarang impak.
“Kepimpinan parti perlu berani meletakkan idealisme mengatasi kepentingan kuasa. Jika tidak, PKR hanya akan menjadi satu lagi entiti politik yang sekadar hidup untuk kelangsungan elit, bukan untuk membela nasib rakyat,” jelasnya.
Tambah beliau, PKR kini perlu mengelak menulis naratif menuju kejatuhannya sendiri.
“Rakyat telah beri peluang, malangnya peluang itu disia-siakan atas nama percaturan politik jangka pendek.
“Lebih menyedihkan, budaya 'kacang lupakan kulit' mula menular dalam PKR. Figura lama yang bermandi keringat semasa era reformasi seolah diketepikan.
“Nama-nama besar yang pernah menjadi tulang belakang gerakan tidak lagi diberi ruang, digantikan bintang politik baharu yang lebih pragmatik dan bersifat elit,” katanya.