JPP nafi wujud 'tangan ghaib' dalam Pemilihan PKR

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan wujudnya 'tangan ghaib' dalam proses pemilihan yang berlangsung Jumaat lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pindaan perlembagaan parti yang telah diluluskan pada 15 Disember tahun lalu telah menetapkan sistem perwakilan berkadar telah digunakan sebagai kaedah pemilihan pucuk pimpinan.

Ujarnya, menerusi mekanisme tersebut, secara keseluruhan seramai 32,021 perwakilan layak mengundi di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).

“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 18,268 undi direkodkan iaitu 12,618 undi dalam talian dan 5,650 undi fizikal, menjadikan kadar keluar mengundi sebanyak 57.05 peratus.

“Secara lebih khusus, bagi peringkat MPP, seramai 22,081 perwakilan layak mengundi dan seramai 13,752 orang telah keluar mengundi.

“Ini bermakna 8,329 perwakilan tidak mengundi, bukan undi hilang seperti yang cuba ditimbulkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dr Zaliha berkata demikian menjawab persoalan ditimbulkan bekas calon Ketua Cabang PKR Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Rahman yang mendakwa wujud ‘tangan ghaib’ dalam proses Pemilihan PKR 2025 selepas 8,329 undi perwakilan hilang tanpa penjelasan kukuh.

Kata Dr Zaliha, bagi pemilihan jawatan Timbalan Presiden pula, sebanyak 13,669 undi telah diterima daripada 13,752 yang mengundi.

Ulasnya, perbezaan 83 undi itu mungkin disebabkan sebahagian perwakilan tidak memilih calon bagi jawatan berkenaan.

“Ia bukan sesuatu yang pelik kerana sistem kita sememangnya membenarkan perwakilan memilih mana-mana jawatan atau tidak memilih langsung. Itu hak mereka,” ujarnya.

Menurutnya, isu lebih separuh perwakilan tidak keluar mengundi juga perlu dilihat secara rasional.

Kata beliau, peratusan sebanyak 57 peratus masih dilihat wajar dan munasabah dalam pemilihan organisasi, lebih-lebih lagi apabila proses tersebut dijalankan pada hari bekerja.

“Mengenai dakwaan kononnya berlaku kelewatan pengumuman keputusan. Saya tegaskan bahawa dakwaan itu tidak tepat.

“Selepas proses pemilihan tamat jam 5 petang, dalam masa kira-kira setengah jam selepas itu, wakil calon telah dipanggil menyaksikan proses ekstraksi undi oleh juruaudit.

“Keputusan tidak rasmi juga telah dimaklumkan kepada mereka pada ketika itu.

“Pengumuman rasmi yang saya umumkan pada malam Jumaat, 23 Mei adalah sekadar formaliti, yang mana pada asalnya dijadualkan pada tengah hari Sabtu. Maka, tidak timbul langsung soal kelewatan,” katanya.