Nurul Izzah perlu buktikan bukan sekadar 'binti' Anwar

KEPUTUSAN pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperlihatkan penyandang jawatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli tewas di tangan Nurul Izzah Anwar sudah dijangka sejak awal.

Perubahan ini secara tidak langsung menggambarkan bukan sahaja peralihan kuasa dalaman, tetapi kehendak akar umbi yang mungkin mahukan pendekatan lebih harmoni dan kurang konfrontasi dalam landskap politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun dengan tempoh kurang 30 bulan menuju PRU16, kejayaan pasukan baharu yang kini lebih condong kepada pendekatan ‘politik kasih sayang’ perlu diuji dari segi kemampuan mereka menyatukan jentera parti dan menarik semula sokongan pengundi muda serta kelas menengah.

Walaupun Nurul Izzah dilihat memiliki imej bersih, progresif dan inklusif, namun cabaran utamanya adalah membina semula struktur akar umbi yang dilihat longgar sejak PKR menyertai kerajaan.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berpandangan, tindakan pertama yang perlu dilakukan oleh barisan kepimpinan baharu parti adalah mendamaikan serta merapatkan saf bagi mendepani pesaing politik sebenar di luar parti.

Menurutnya, langkah itu penting terutamanya menjelang PRU16 yang sekali gus menjadi medan sebenar penentuan sokongan terhadap rakyat terhadap parti pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

“PKR juga harus menunjukkan bahawa parti lebih besar daripada personaliti dengan memastikan kestabilan politik di peringkat nasional terpelihara kerana hari ini, PKR adalah parti pemerintah bersama gabungan yang lain di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Mereka juga harus meningkatkan tahap ketaatan atau sifat wala' ke atas parti walaupun PKR terbuka, mengamalkan demokrasi dan kebebasan, namun identiti serta ideologi parti perlu dipertahankan.

“Mungkin dalam masa akan datang dalam tempoh 30 bulan, pasukan baharu ini harus membongkar isu strategik untuk perkukuhkan parti dalam mendepani sentimen dan juga persepsi di luar sana yang mungkin telah tercalar susulan kekalahan kem Rafizi,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pemilihan PKR bagi 2025-2028, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan tewas kepada anak sulung Anwar dengan majoriti hampir 6,000.

Sebagai rekod, Menteri Ekonomi itu pernah tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam perebutan jawatan berkenaan pada 2018.

Berdasarkan perkembangan terkini, Sivamurugan berpendapat, penting untuk Nurul Izzah sebagai penyandang baharu membuktikan beliau bukan sekadar ‘berbintikan’ Anwar, tetapi sosok yang mempunyai kredibiliti, reputasi, kewibawaan dan kemampuan untuk mengalas tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden melangkaui imaginasi ikatan kekeluargaan yang dimainkan oleh pihak luar.

Menurutnya, politik moderat yang lebih sederhana boleh dibawa sebagai agenda besar dengan memastikan parti terus diperkukuh dan diperkuatkan oleh pelbagai lapisan kepimpinan supaya jurang generasi dan ekspektasi yang berubah dapat dirapatkan.

Sementara itu penganalisis politik dari Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kemenangan Nurul Izzah perlu diakui oleh masyarakat serta ahli PKR kerana ia adalah cerminan kehendak perwakilan yang mengundi ke arah kepimpinan masa kini.

Bahkan menurutnya, masyarakat juga mempunyai jangkaan tinggi untuk melihat elemen pembaharuan yang boleh memberi manfaat kepada mereka dan ahli parti.

“Menjadi satu cabaran baharu kepada kepimpinan PKR bagi memastikan parti terus kekal relevan dalam kancah politik negara selain memastikan isu-isu berkepentingan parti dan jentera kerajaan dapat diselaraskan dengan lebih baik.

“Ia juga sebagai persediaan kerana PRU16 dijangka lebih mencabar dengan keterbukaan, cabaran elemen algoritma media sosial dan kecerdasan buatan pintar yang mungkin menjadi teknik strategi perang saraf.

“Penting untuk semua ahli politik termasuk kepimpinan PKR mengetahui perkara ini kerana ia akan memberikan satu pembaharuan dalam mencerminkan hala tujuh politik negara,” ujarnya.

Arkitek PKR tidak boleh dipinggirkan

Peranan Rafizi sebagai ‘arkitek strategi’ kempen PKR dalam mengatur gerak jentera pilihan raya tidak boleh dipinggirkan kerana terbukti paling efektif yang pernah dimiliki PKR.

Walaupun cabarannya sukar pada kali ini, Sivamurugan berkata, bekas orang kanan Anwar itu perlu dipujuk untuk terus memainkan peranan yang berbeza dalam parti kali ini.

“Mungkin sementara waktu akan ada rasa kecewa termasuk penyokong beliau, tetapi PKR tidak boleh nafikan Rafizi merupakan figura yang memainkan peranan besar dalam kejayaan PKR selama ini.

“Cuma jawatan timbalan presiden hanya untuk satu orang tetapi melangkaui jawatan, pangkat dan kedudukan, beliau masih lagi signifikan dan boleh memainkan peranan selain Presiden (Anwar) mungkin boleh pertimbangkan (beri) jawatan lain.

“Persoalannya adakah Rafizi mahu menggalas jawatan lain kerana ketika berkempen, beliau nyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet. Justeru perlu difikirkan apakah langkah lain yang parti perlu ambil bagi memastikan ahli yang kecewa tidak mendatangkan kesan bukan sahaja sekarang, tetapi ketika pilihan raya,” jelasnya.

Dalam pada itu Sivamurugan menjangkakan Ahli Parlimen Pandan itu akan terus menyusun strategi lain untuk kekal aktif dalam arena politik kerana sebagai seorang strategis, Rafizi merupakan individu lantang bersuara dan bersifat terbuka.

“Mungkin beliau akan teruskan agenda dalam podcast sementara keadaan kembali reda dan melihat keperluan untuk kembali semula dalam politik,” menurutnya.