Masa depan Rafizi dalam PKR bergantung kepada kepimpinan baharu

SHAH ALAM – Masa depan Datuk Seri Rafizi Ramli dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini bergantung sepenuhnya kepada keputusan barisan kepimpinan baharu parti itu.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata, kekalahan Menteri Ekonomi itu dalam pemilihan Timbalan Presiden kepada Nurul Izzah Anwar adalah satu isyarat jelas daripada suara akar umbi PKR.

Justeru katanya, sebagai ahli politik, beliau perlu menerima hakikat bahawa kalah dan menang adalah adat dalam pertandingan.

“Dalam konteks parti, kita perlu tahu bahawa ‘patah tumbuh hilang berganti’. Jika PKR bertindak merehatkan Rafizi, mungkin ada sebab yang hanya barisan kepimpinan sahaja tahu alasan terbaiknya. Saya jangka masa depannya kini di tangan barisan kepimpinan baharu PKR.

“Jadi, penyokong Rafizi kena akur dan menerima kekalahan ini sebagai satu hikmah. Tidak perlu merajuk, yang penting beliau perlu tunjuk sikap positif, berjiwa besar demi parti dan terus memberi sokongan sama ada diberi jawatan atau hanya sekadar ahli biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan Rafizi dalam parti selepas kekalahan pemimpin itu dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden.

Tambah Kartini, suara akar umbi sudah pun menyatakan pilihan mereka dan kemenangan Nurul Izzah adalah satu mandat yang perlu dihormati oleh semua pihak dalam parti.

“Sebak hati Saifuddin itu mungkin tidak mewakili semua suara akar umbi dalam PKR. Namun, jika PKR mahu beralih angin dan mengetengahkan pemimpin baharu yang berwibawa, itu sudah pasti adalah hak mereka sebagai strategi untuk memperkukuh parti,” ujarnya.

Menurut beliau, PKR perlu terus bergerak ke hadapan dengan barisan kepimpinan baharu yang dipilih oleh ahli, sambil memastikan semua pihak dalam parti kekal bersatu.

“Kalah menang dalam politik adalah adat pertandingan. Rafizi perlu menunjukkan kematangan politik beliau,” katanya.