'AMK tak kecil hati wakil BN, Rafizi tak hadir' – Adam Adli

JOHOR BAHRU – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim menegaskan bahawa tiada rasa berkecil hati terhadap ketiadaan wakil Barisan Nasional (BN) ke Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2024/2025 yang berlangsung pada Jumaat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, surat jemputan telah dihantar kepada semua pihak berkaitan, namun tiada maklum balas diterima.

Malah, katanya, ketidakhadiran Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli semasa Majlis Perasmian Kongres AMK pada Khamis juga tidak menimbulkan sebarang isu.

“Kita sudah keluarkan jemputan rasmi kepada pihak BN, namun mereka tidak hadir. Begitu juga dengan jemputan kepada Rafizi untuk merasmikan kongres, tetapi beliau tidak dapat hadir.

“Tiada isu berkecil hati, saya anggap ia perkara biasa,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kongres AMK di Hotel Berjaya Waterfront di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Adam yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata beliau optimis usaha pendamaian akan dilakukan pasca pemilihan parti yang menyaksikan persaingan sengit antara calon.

Dalam pada itu, ketika menyampaikan ucapan dasar, beliau menyeru agar anggota PKR, khususnya golongan muda, menghayati semangat ‘assabiyah’ dalam konteks membina kekuatan politik dalaman.

“Semua pihak yang terlibat adalah individu yang setia kepada parti. Pertembungan yang berlaku bukan soal perpecahan, tetapi kerana masing-masing mahu menzahirkan kesetiaan kepada perjuangan parti.

“Perpecahan hanya akan berlaku jika tiada usaha ke arah rekonsiliasi. Selepas pertembungan, yang paling penting adalah usaha untuk menyatukan kembali saf perjuangan.

“Assabiyah yang saya maksudkan bukanlah dalam kerangka sempit atau kronisme. Ia adalah assabiyah yang disertai dengan kebijaksanaan, yakni semangat setiakawan, perpaduan dan kesatuan yang utuh seperti yang diteorikan oleh Ibnu Khaldun,” katanya.