Ikut jejak Rafizi, tunggu dulu pemilihan selesai - Nik Nazmi

ISKANDAR PUTERI – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad meminta semua pihak menunggu sehingga hari pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengenai keputusan yang akan diambil sekiranya tewas pada Jumaat ini.

"Kita tunggu dulu pemilihan nanti," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Jawatankuasa Khas Konflik Manusia dan Gajah peringkat negeri di Bangunan Dato Jaafar Muhammad pada Selasa.

Sebelum itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad diajukan soalan mengenai enggan mengulas sama ada akan mengikut tindakan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang bersedia meletakkan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR.

Pada 22 April lalu, Nik Nazmi dilaporkan akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti Jumaat ini, meskipun tewas dalam saingan di peringkat cabang.

Sebelum ini, Nik Nazmi gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa selepas tewas kepada Datuk Afdlin Shauki.

Pada 10 Mei lalu, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi dilaporkan bersedia meletakkan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti bulan ini.

Beliau dilaporkan berkata, walaupun berundur daripada Kabinet, tugas sebagai Ahli Parlimen Pandan akan tetap diteruskan dan beliau bebas untuk berbicara dalam apa saja perkara.

Ditanya mengenai kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, pada Isnin yang membayangkan sebarang perbalahan dalaman berisiko membawa kepada kehancuran PKR dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, Nik Nazmi turut enggan mengulas isu berkenaan.

"Kita tunggu pemilihan (MPP PKR) selesai ya," katanya.