SHAH ALAM – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming disaran mengkaji semula punca kekosongan kebanyakan unit MyKiosk di seluruh negara bagi memastikan projek tersebut kembali kepada matlamat asalnya.
Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata, langkah itu lebih wajar diambil berbanding mempertahankan kegagalan sedia ada, agar masalah berkenaan dapat diselesaikan secara menyeluruh dan berkesan.
“Biarpun beliau (Kor Ming) memetik beberapa contoh penggunaan MyKiosk sebagai bukti kejayaan inisiatif ini, namun ia tidak boleh menafikan hakikat bahawa projek ini secara majoriti telah gagal.
“Soalan yang sering ditanya orang ramai adalah, adakah KPKT menjalankan kajian dan analisis terperinci berkenaan keperluan dan kebolehlaksanaan MyKiosk di lokasi-lokasi terbabit sebelum memulakan inisiatif ini?” soalnya dalam kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar menunjukkan banyak unit MyKiosk masih kosong, ditumbuhi rumput dan lalang serta berada di lokasi yang sunyi tanpa kehadiran orang ramai.
Dalam pada itu, Yee Fung turut menegaskan, kajian dan penilaian berterusan wajar dilaksanakan KPKT selepas pelaksanaan inisiatif tersebut bagi mendapatkan maklum balas masyarakat tempatan di lokasi pembinaan MyKiosk, selain mengambil tindakan terhadap sebarang masalah yang dibangkitkan.
“Menteri KPKT juga harus sedar bahawa sekiranya masalah-masalah seperti lokasi tidak sesuai, kekurangan pengunjung dan fasiliti yang tidak lengkap tidak diselesaikan, maka tiada gunanya mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyewa kiosk ini kepada penjaja kecil,” katanya.
Sementara itu, KPKT dalam kenyataan menjelaskan bahawa sesi libat urus bersama PBT telah dilaksanakan pada awal Ogos 2022 bagi mengenal pasti keperluan pelaksanaan projek MyKiosk.
“Inisiatif ini bertujuan memperkasa ekonomi peniaga-peniaga kecil di kawasan PBT yang terjejas semasa pandemik Covid-19. Ia juga mengambil kira cadangan dan pandangan PBT berkenaan bilangan unit kiosk diperlukan berdasarkan jumlah peniaga terkini, kesesuaian lokasi dan anggaran sewaan yang dikenakan,” jelas kementerian itu.
Menurut KPKT, sambutan terhadap pelaksanaan MyKiosk 1.0 pada tahun 2023 membuktikan ia memenuhi keperluan peniaga dan mendorong pelaksanaan fasa kedua iaitu MyKiosk 2.0.
“KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) juga telah melaksanakan naziran terhadap projek MyKiosk 1.0 kepada semua PBT dan mendapati banyak faedah telah diperoleh oleh peniaga yang menggunakan kemudahan ini.
“Pengisian kiosk terkini bagi unit MyKiosk 1.0 membabitkan 3,189 unit dengan 2,690 unit telah diisi atau bersamaan 84.35 peratus setakat 31 Disember 2023. Bagi MyKiosk 2.0 pula, daripada 4,054 unit yang diluluskan, sebanyak 2,497 unit telah diisi, iaitu 61.5 peratus sehingga tarikh sama,” katanya.