KOTA BHARU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai potensi untuk menawan Kelantan melalui semangat dan komitmen anak muda dalam parti tersebut.
Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerjasama erat dalam parti turut menjadi faktor utama yang menarik lebih ramai untuk menyertai perjuangan PKR.
"Bukan senang orang hendak undi kita. Anak muda kena ambil alih dan jangan ambil mudah. Kita kena bangunkan parti," katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Bersama Datuk Seri Dr Hajah Wan Azizah Datuk Dr Wan Ismail di sini pada Selasa.
Beliau turut diiringi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor.
Wan Azizah turut menasihatkan ahli parti supaya sentiasa berpegang kepada integriti dan amanah.
"Kita (PKR) pernah dipersendakan sebagai parti ‘nyamuk’. Dahulu kita tidak berapa kukuh dan ramai rakan-rakan (dari parti lain) mengata kita," ujarnya.
Menurutnya lagi, semua jawatan yang disandang oleh ahli adalah untuk mengukuhkan parti dan bukannya untuk kepentingan peribadi.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengambil gaji, tapi tidak mengapa... ada elaun sebagai ahli Parlimen, dan beliau tetap bekerja untuk negara," katanya.
Tambah beliau, persaingan atau ‘perlawanan’ dalam parti juga boleh menjadi satu perkara positif dalam membawa perubahan kepada Kelantan.