SHAH ALAM- Dakwaan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mengenai pelantikan vendor yang mengendalikan sistem pemilihan parti itu dilakukan secara senyap-senyap adalah tidak berasas.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan (JPP) PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa sebaliknya menjelaskan bahawa isu yang dibangkitkan sebelum itu hanyalah berkaitan pelantikan auditor.
"Saya masih ingat dalam perbincangan di peringkat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) tentang lantikan vendor dan auditor.
"Memang saudara Rafizi langsung tidak mempertikaikan tentang lantikan vendor iaitu yang buat sistem pemilihan sebaliknya yang banyak pertikaian ialah tentang lantikan auditor.
"Jadi kenapa selepas kita sudah selesai pemilihan di peringkat cabang nak pertikaikan pula tentang lantikan vendor," katanya menerusi penjelasan melalui video yang dikongsikan melalui Facebook pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan Rafizi mendakwa pelantikan vendor tersebut dilakukan secara senyap-senyap pada Disember tahun lalu tanpa dibincangkan dengan Biro Politik parti untuk dibuat pernilaian bersama.
Menurut Zaliha, vendor yang dilantik untuk sistem pemilihan kali ini merupakan pihak yang sama terlibat dalam penambahbaikan sistem keanggotaan menerusi aplikasi ADIL sejak tahun 2022.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya semua pihak tidak menjadikan JPP sebagai pertembungan antara calon.
“JPP perlu kekal bebas dan kita akan pastikan pemilihan di Kongres Nasional nanti berjalan secara adil, telus dan berintegriti,” katanya lagi.
Beliau turut meminta supaya semua calon berkempen dengan mengemukan kekuatan masing-masing untuk kebaikan parti agar terus relevan.
Kongres Nasional dan pemilihan peringkat pusat dijadualkan berlangsung pada 23 dan 24 Mei ini di Johor Bahru.