SHAH ALAM – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli disifatkan tidak sesuai menyertai Pas kerana beliau tidak memenuhi ciri-ciri perjuangan dan kelayakan yang dituntut oleh parti berasaskan Islam itu.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, kesemua anggota Majlis Syura Ulama (MSU) Pas terdiri daripada para ulama yang faqih (mendalam ilmu agama) dan Rafizi tidak memiliki dua citra utama perjuangan Pas sejak ditubuhkan pada 1951.
“Sejak Pas ditubuhkan, citra perjuangannya ialah memperjuangkan hukum dan nilai-nilai Islam dalam pemerintahan serta mempertahankan kedudukan kaum bumiputera tanpa menafikan hak kaum-kaum lain.
“Pada pemerhatian saya, kedua-dua citra perjuangan ini tidak ada pada Rafizi. Justeru, beliau tidak sesuai menyertai Pas,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Selasa.
Terdahulu, Rafizi mendedahkan bahawa beliau pernah menerima tawaran untuk menyertai Pas susulan beberapa insiden yang berlaku sepanjang kempen Pemilihan PKR bagi sesi 2025-2028. Namun, beliau menegaskan bahawa beliau hanya mengenali satu parti, iaitu PKR.
Mengulas lanjut, Mohd Zuhdi berkata, sepanjang penglibatan Rafizi dalam politik, beliau tidak pernah berada di barisan hadapan memperjuangkan Islam mahupun mempertahankan hak bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Perjuangan politik Rafizi lebih bercirikan aliran politik kanan Barat. Walaupun tiga syarat asas untuk menyertai Pas adalah warganegara Malaysia, Islam dan akil baligh, satu lagi syarat penting ialah pengakuan menerima serta taat kepada Perlembagaan, peraturan dan keputusan parti.
“Ahli Pas mesti berjuang untuk mendaulatkan Islam dan mempertahankan kesuciannya. Dalam konteks ini, keputusan-keputusan politik Pas ditentukan oleh Majlis Syura Ulama berdasarkan kehendak Islam,” jelasnya.
Tambah beliau, jika Rafizi menyertai Pas, beliau tidak akan terlibat secara langsung dalam proses penetapan dasar parti seperti yang lazim dilakukannya dalam PKR, kecuali selepas memenuhi syarat menjadi seorang ulama yang faqih.
"Di dalam Pas, lazimnya Presiden dan Timbalan Presiden dipilih dalam kalangan ulama kerana mereka terlibat secara langsung dalam proses pemutusan dasar dan hala tuju parti,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Zuhdi menegaskan bahawa Pas sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja daripada kalangan umat Islam untuk menyertai parti itu, manakala bukan Muslim boleh menyertai Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).
“Oleh itu, tanpa pelawaan pun Rafizi sebenarnya boleh menyertai Pas. Jika pelawaan hanya datang daripada penyokong awam, tidak perlulah dihebohkan. Lainlah jika datang daripada pimpinan utama Pas, itu memang suatu penghormatan,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Zuhdi berkata, beliau secara peribadi tidak berminat mencampuri urusan pemilihan PKR, namun terpaksa memberi ulasan kerana Pas sering dikaitkan dalam kempen-kempen pemilihan parti berkenaan.
Katanya, dari sudut pemerhatian luaran, Rafizi dilihat sukar mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden apabila sokongan akar umbi cenderung kepada Nurul Izzah Anwar.
“Jika Rafizi kalah, saya tidak fikir beliau akan menyertai Pas. Sebaliknya, tidak mustahil beliau akan menyertai gabungan baharu bersama tokoh-tokoh beraliran kanan seperti Khairy Jamaluddin, Syed Saddiq, Syahrir Adnan dan yang seumpamanya.
“Politik Malaysia akan menjadi lebih menarik jika tokoh-tokoh ini bergabung membentuk kuasa ketiga bagi menghadapi PN dan PH-BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Mungkin MCA dan MIC juga bersama,” katanya.