KOTA BHARU – PKR Kelantan memilih Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden parti bagi sesi 2025-2028 bukan kerana nepotisme sebaliknya kerana beliau mampu menarik lebih ramai anak muda dan wanita.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata, Nurul Izzah sudah lama berjuang bersama parti itu tetapi tidak berpeluang mendapat jawatan yang baik walaupun mempunyai ciri kepimpinan.
Beliau memberitahu, kempen untuk memilih Nurul Izzah juga tiada kena mengena dengan faktor biologi bahawa beliau adalah anak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kalau nak kata nepotisme, pada saya Tun Razak (Tun Abdul Razak) ada Najib (Datuk Seri Najib Razak), Hussein Onn (Tun Hussein Onn) ada Hishammuddin (Datuk Seri Hishammuddin) dan Jokowi ada Gibran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hi-Tea Bersama Datuk Seri Dr Hajah Wan Azizah dan Datuk Dr Wan Ismail pada Selasa.
Mohamad Suparadi memberitahu, Nurul Izzah setia dalam arus perjuangan parti itu yang turut menggalakkan anak muda dan wanita untuk terus bersama Perdana Menteri.
“Kita kena terima hakikat hari ini bahawa komponen terbesar pengundi ialah wanita dan anak muda. Jika beliau boleh dinobatkan sebagai Timbalan Presiden, saya rasa Kelantan pun akan menerima cahaya baharu.
“Sosok Nurul Izzah ada kepimpinannya, untuk masa depan kita tidak boleh harap kepada presiden kerana beliau sebagai Perdana Menteri perlu menjaga negara,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan sebanyak 13 Ketua Cabang PKR Kelantan menyatakan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu bagi sesi 2025-2028.
Sokongan itu diberikan kerana Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR merupakan pemimpin berpengalaman dan kelebihan itu mampu memperkukuhkan lagi parti.