AMK perlu pasukan berpengalaman bantu Kamil Munim

IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) memerlukan barisan kepimpinan berpengalaman bagi memperkukuhkan sayap Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah pimpinan Ketua AMK baharu, Muhammad Kamil Abdul Munim yang menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti kali ini.

Timbalan Ketua Cabang PKR Tambun, A Kalaimughilan berkata, walaupun Muhammad Kamil memiliki keupayaan tersendiri, namun kekuatan sebenar AMK bergantung kepada pasukan yang mendukung beliau untuk terus memperkasakan sayap anak muda itu.

Justeru, amat penting perwakilan memilih pemimpin muda yang mempunyai rekod kerja baik selain berupaya membawa AMK ke tahap terbaik.

“Pandangan saya terhadap Muhammad Kamil, beliau telah lakukan yang terbaik untuk AMK. Tapi kita kena lihat pasukan yang akan menang. Adakah mereka bantu menguatkan lagi Muhammad Kamil atau sebaliknya melemahkan beliau.

“Tidak boleh sekadar menggunakan pengaruh tertentu untuk menang, tetapi tiada rekod kerja yang baik. Perwakilan AMK perlu buat kajian dan semak kemampuan calon-calon agar AMK terus kuat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kalaimughilan yang mengumumkan pencalonan sebagai Naib Ketua AMK Pusat berkata, keputusannya untuk bertanding bukan sekadar mahu mencuba nasib, sebaliknya membawa agenda jelas untuk mengaktifkan kembali jentera AMK di seluruh negara.

Beliau yang menyertai PKR secara rasmi pada usia 18 tahun dan mempunyai pengalaman luas dalam gerakan anak muda berkata, fokus utamanya ialah menyediakan platform terancang bagi AMK melaksanakan program secara efisien serta menekankan aspek pendidikan dalam kalangan ahli.

“Ramai profesional muda dan graduan menyertai AMK, tetapi di peringkat cabang juga ada AJK yang tidak dapat melanjutkan pelajaran. Kita mahu beri peluang kepada mereka. Jika dipilih, saya juga mahu lebih ramai wakil AMK menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

“Saya juga merancang setiap dua bulan akan turun ke negeri-negeri yang saya jaga jika menang nanti dan letakkan pegawai perhubungan AMK untuk mengangkat isu-isu tempatan,” katanya yang kini aktif di Cabang Tambun sejak 2022.

Menurutnya, latar belakang keluarganya yang turut aktif dalam perjuangan reformasi memberi kekuatan moral untuk terus berbakti kepada parti.

“Ayah saya sertai PKR sejak 2001 dan pernah bertanding di DUN (Dewan Undangan Negeri) Chenderiang pada pilihan raya umum. Ibu pula pernah menjadi Exco Wanita Pusat pada 2008. Kami sekeluarga bersama PKR sejak dulu lagi,” jelasnya.

Mengulas dakwaan bahawa pemilihan boleh menyebabkan perpecahan dalam parti, beliau menolak andaian tersebut dan menyifatkan PKR sebagai parti yang matang meraikan demokrasi.

“Pemilihan adalah pesta demokrasi. Dahulu kita ada pemimpin besar seperti Datuk Seri Azmin Ali, tapi bila beliau keluar, parti tetap kukuh. Apa pun keputusan, semua calon tetap akan membantu parti.

“Saya sendiri tidak memihak kepada mana-mana calon kerana kita mahu lihat visi dan tawaran mereka untuk masa depan parti,” katanya.

Kalaimughilan turut memaklumkan bahawa respon diterima sepanjang siri kempen amat memberangsangkan dan percaya peluang untuk mengisi jawatan Naib Ketua AMK terbuka kepada mereka yang benar-benar serius membawa perubahan.