'Marah atau tidak, rasa hormat terhadap Pak Hassan tak pernah berubah' - Nurul Izzah

SHAH ALAM - Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menzahirkan penghargaan dan doa kepada Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang bakal menunaikan ibadah haji bersama isterinya.

Menerusi hantaran di Facebook, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR berkata, walaupun beliau dan Hassan pernah berbeza pandangan, rasa hormat terhadap tokoh veteran parti itu tidak pernah pudar.

“Adalah satu penyataan yang meremehkan jika saya katakan bahawa saya dan Pak Hassan tidak pernah berselisih faham. Pak Hassan ini seorang pejuang yang berprinsip.

"Beliau adalah antara yang mengkritik khidmat saya semasa berada di Pejabat Perdana Menteri (PMO), sebelum saya berundur dan menyerahkan tugasan kepada Nurhisham Hussein yang ketika itu merupakan Pengarah Ekonomi dan CSO KWSP,” katanya pada Rabu.

Menurut Nurul Izzah, Hassan turut memainkan peranan dalam mendesaknya bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR bagi pemilihan parti kali ini.

“Sama ada marah atau tidak, rasa hormat saya terhadap Pak Hassan tidak pernah berubah.

"Kita pernah mengumpul dana daripada orang ramai untuk memenuhi keperluan perkhidmatan, termasuk wang deposit, ketika PKR berdepan kesukaran suatu ketika dahulu.

“Kopi ini memang pahit, namun kepahitan itu kita harungi bersama,” ujarnya.

Nurul Izzah turut mendoakan agar Hassan dan isterinya dipermudahkan segala urusan sepanjang menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Selamat menunaikan ibadah haji, Pak Hassan dan isteri. Semoga kita saling mendoakan,” katanya.

Dalam hantaran tersebut, Nurul Izzah turut memuat naik gambar bersama Hassan Abdul Karim sebagai tanda kenangan.