SHAH ALAM - "Ujian terbesar saya bukan sekadar tewas pilihan raya, tetapi apabila ditawarkan wang berjuta ringgit untuk meninggalkan perjuangan parti."
Demikian luahan bekas Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang mengumumkan kesediaannya untuk bertanding sebagai calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti tahun ini.
Menurut beliau, prinsip dan integriti adalah nilai yang tidak ternilai dan menjadi benteng utama menolak tawaran lumayan itu.
“Saya memilih untuk kekal setia bersama PKR, parti yang memperjuangkan keadilan sosial, hak rakyat serta reformasi institusi. Kesetiaan ini bukan hanya sekadar pada nama, tetapi saya buktikan melalui tindakan sepanjang berada dalam perjuangan parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, keputusan untuk menawarkan diri sebagai calon MPP dibuat selepas mempertimbangkan pandangan rakan-rakan dan pucuk pimpinan parti.
“Saya dengan rendah diri memohon sokongan daripada semua perwakilan agar diberikan ruang dan peluang untuk menganggotai MPP PKR demi membawa parti ini ke satu aras yang lebih baik,” katanya lagi.
Abdullah Sani sebelum ini dikenali sebagai antara tokoh veteran dalam PKR yang lantang bersuara memperjuangkan agenda reformasi sejak awal penubuhan parti.
Pemilihan PKR 2025 dijangka menjadi medan penting bagi barisan kepimpinan baharu menentukan hala tuju parti menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.