Kontroversi pemilihan cabang tidak jejas Kongres PKR di Johor - Fuziah

JOHOR BAHRU - Isu yang timbul susulan kontroversi ketika proses pemilihan peringkat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini tidak akan menjejaskan kelancaran penganjuran Kongres Nasional PKR yang bakal berlangsung di sini bermula 22 Mei depan.

Setiausaha Agungnya, Dr Fuziah Salleh berkata, beliau yakin perkara tersebut tidak memberi kesan besar dan kongres pertama kali dianjurkan di Johor merupakan yang terbesar dalam sejarah parti itu akan berlangsung dengan teratur.

“Seramai lebih 9,000 perwakilan dijangka menghadiri kongres berkenaan dan kehadiran tinggi itu susulan pindaan Perlembagaan parti pada 15 Disember tahun lalu yang membolehkan lebih ramai wakil sah menyertai kongres secara bersemuka.

“Kesemua ahli jawatankuasa yang menang, 18 dari Angkatan Muda Keadilan (AMK), 10 dari Wanita layak menghadiri kongres secara fizikal di Persada Johor International Convention Centre bermula 22 hingga 24 Mei ini.

“Setakat ini jumlah perwakilan yang layak hadir secara fizikal lebih 9,000 orang dan lebih 20,000 secara dalam talian,” katanya ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Jelapang Emas Ventures Sdn Bhd di sini pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan, pemilihan peringkat cabang PKR dilanda kontroversi apabila beberapa pihak mengemukakan bantahan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) terhadap keputusan tersebut selepas tidak berpuas hati dan mendakwa berlaku 'keanehan'.

Bagaimanapun, keputusan Pemilihan PKR 2025 bagi semua 220 Cabang di seluruh negara itu yang selesai baru-baru ini disah dan dimuktamadkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan kontroversi yang timbul sepanjang pemilihan cabang sebelum ini, beliau memaklumkan parti telah melantik sebuah badan audit bebas antarabangsa bagi menyemak keseluruhan proses.

Menurutnya, pihak yang dilantik merupakan juruaudit digital antarabangsa terlibat proses pemilihan tersebut untuk memastikan berjalan lancar dan sempurna.

“Kita telah menjalankan audit melibatkan sistem, tatacara dalaman dan keseluruhan proses termasuk penggunaan teknologi rantaian blok (blockchain).

“Hasil dapatan audit antarabangsa mengesahkan tiada sebarang manipulasi atau kompromi berlaku. Malah, siri jelajah pra-kongres ke seluruh negara termasuk zon Selatan, Pantai Timur, Utara, Sabah dan Sarawak menunjukkan semangat yang tinggi dalam kalangan ahli.

“Saya lihat proses konsolidasi sedang berjalan dengan baik dan tiada tanda-tanda perpecahan. Insya-ALLAH semangat ini akan dibawa ke kongres dalam tempoh 10 hari lagi,” katanya.