Jangan politikkan laporan mengenai MH17 - Muhammad Kamil

SHAH ALAM – Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menggesa semua pihak agar tidak mengeksploitasi laporan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang menyatakan bahawa Rusia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada tahun 2014.

Katanya, kenyataan daripada kerajaan Belanda dan Australia mengenai perkara itu secara kebetulan dikeluarkan sejurus sebelum lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia pada Selasa, yang telah lama dirancang.

"Apa yang penting adalah laporan tersebut tidak seharusnya dieksploitasi dan ditunggang oleh pihak-pihak yang picisan dan dangkal terhadap isu.

"Jangan kita mudah terheret dengan permainan kuasa-kuasa besar dengan membantu menghalakan peluru musuh ke arah kita. Mempolitikkan tragedi MH17 adalah tingkat paling bawah untuk membenih dan mengaut laba politik murahan," katanya.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari pada Selasa menggesa Perdana Menteri menuntut agar Rusia mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada kerajaan dan rakyat Malaysia berhubung insiden tembakan ke atas pesawat Malaysia Airlines MH17.

Katanya, Perdana Menteri boleh mengemukakan tuntutan rasmi tersebut kepada Rusia semasa lawatan rasminya ke negara itu.

Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi ke Rusia sehingga 16 Mei, yang turut melibatkan pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin di Moscow serta menghadiri Russia-Islamic World: KazanForum di Kazan.

Fadhli turut berpandangan bahawa lawatan rasmi itu tidak boleh dijadikan sekadar platform ekonomi dan pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu menjadi medan bermaruah untuk memperjuangkan hak rakyat Malaysia yang terkorban secara tragik dan tidak bersalah.

Dalam pada itu, Muhammad Kamil berkata mempolitikkan tragedi MH17 adalah tindakan paling rendah demi meraih laba politik murahan, apatah lagi ketika Malaysia terus mendukung segala usaha untuk menegakkan keadilan buat mangsa dan waris tragedi tersebut.

"Rekod Malaysia di arena diplomasi kekal cemerlang. Terbukti menerusi kebijaksanaan dan ketegasan yang ditonjolkan dalam pelbagai siri lawatan dan kunjungan rasmi Perdana Menteri.

"Insya-Allah, kunjungan rasmi Perdana Menteri ke Rusia akan membuahkan hasil, meneruskan momentum serta memberi laba kepada negara dan rakyat, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara yang tegas, bermaruah dan berwibawa," tambahnya.

Terdahulu, ICAO memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab terhadap insiden tembakan ke atas pesawat MH17 yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 43 warga Malaysia pada tahun 2014.

Dalam kenyataan berasingan, kerajaan Belanda dan Australia menyatakan bahawa keputusan ICAO itu membuka jalan kepada pertimbangan bentuk pampasan yang wajar kepada mangsa.