'Tidak semudah atas kertas'

SHAH ALAM - Kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah adalah tidak mustahil tetapi bakal berdepan dengan ranjau.

Pakar Komunikasi Politik, Perhubungan Awam Kerajaan dan Perang Saraf dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata, cadangan itu mungkin nampak menarik secara strategi di atas kertas, namun realitinya jauh lebih rumit dan berisiko menimbulkan penolakan besar di peringkat akar umbi.

Menurutnya, mood semasa pengundi Sabah ketika ini lebih berpihak kepada parti-parti tempatan dan bukannya semata-mata berdasarkan yang sedang berkuasa dalam kerajaan negeri.

“Kalau kita lihat iklim sokongan rakyat Sabah sekarang, mereka lebih cenderung kepada parti tempatan, tapi tidak semestinya GRS. Ini bermaksud GRS pun tidak selamat.

“Dari sudut pandang Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri, cadangan menggabungkan GRS, PH dan BN adalah strategik tapi bagaimana dengan aspek bilangan kerusi yang ditandingi, dipertahankan dan berpotensi dimenangi.

“Ia berkait strategi dan taktikal. Atas kertas cantik, memang bagus dari sudut perancangan. Tapi adakah hubungan antara ketiga-tiga parti ini okey?” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Syahruddin, peristiwa Langkah Kinabalu pada Januari 2023 menjadi titik punca utama keretakan hubungan antara GRS dan BN, khususnya melibatkan pemimpin BN Sabah iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Langkah Kinabalu adalah satu pengkhianatan. GRS tidak lupa peristiwa itu. Sama ada dimaafkan atau tidak, itu perkara kedua. Tapi kepercayaan sudah hilang,” tambahnya.

Jelasnya, isu calon Ketua Menteri juga menjadi persoalan utama dan menegaskan bahawa poster boy bagi gabungan tersebut akan memberi isyarat jelas kepada rakyat tentang siapa bakal menerajui negeri.

Sementara itu, Penganalisis Sosiopolitik dari Universiti Malaya, Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpandangan, cadangan membentuk gabungan besar untuk menghadapi PRN Sabah boleh menjadi strategi politik yang bernas jika diurus dengan teliti dan berdasarkan formula yang adil serta inklusif.

Ujar beliau, gabungan GRS dan PH-BN boleh mengukuhkan kestabilan politik negeri, terutama jika UMNO diberi peranan signifikan dan tidak sekadar pelengkap angka.

Jelasnya, UMNO melalui BN, telah membina asas politik yang kukuh di Sabah sejak zaman USNO, Berjaya dan kemudiannya melalui UMNO Sabah sendiri.

“Namun, kestabilan tidak akan tercapai sekiranya kerjasama ini sekadar kosmetik atau tidak menyelesaikan persoalan siapa dominan, bagaimana pembahagian kerusi dilakukan dan siapa poster boy yang diterima semua pihak.

“Tanpa penyelarasan naratif, gabungan ini berisiko menjadi rebutan kuasa dan bukannya platform penyatuan,” katanya.

Tambah Awang Azman, realitinya, politik Sabah berlandaskan sentimen tempatan, autonomi dan maruah negeri.

“BN melalui UMNO memiliki akar sejarah dan struktur jentera yang kuat, terutama di kawasan luar bandar.

“Sebaliknya, jika UMNO terus diketepikan oleh GRS atas alasan ‘Sabah untuk rakyat Sabah’, maka ia bukan sahaja melemahkan perpaduan nasional yang cuba dibina Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), malah akan membuka ruang kepada pembangkang menangguk di air keruh,” jelasnya.

Beliau menegaskan, untuk menjayakan kerjasama ini, semua pihak iaitu GRS, PH-BN perlu akur kepada tiga prinsip utama iaitu agihan kerusi berdasarkan kekuatan lapangan dan bukan atas dasar ego parti, pembinaan naratif bersama serta pelantikan tokoh kompromi sebagai poster boy.