Persaingan antara Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Rafizi Ramli dalam gelanggang politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk merebut jawatan Timbalan Presiden terus menjadi tumpuan, lebih-lebih lagi apabila kedua-dua mereka mula mengatur gerakan kempen menerusi siri jelajah seluruh negara.
Persimpangan penting dihadapi parti politik yang menerajui kerajaan ini sekali gus menyaksikan perang perbandingan kekuatan dan kelemahan antara kedua-dua calon pendamping presiden.
Nurul Izzah yang kini merupakan Naib Presiden PKR dilihat terus memikul bebanan kritikan berkait nepotisme setelah bersetuju menyahut sokongan akar umbi untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden bagi penggal akan datang.
Bagaimanapun, kredibiliti wanita yang diangkat sebagai ‘Puteri Reformasi’ itu sebenarnya melangkaui imej ‘anak papa’ dilabel sesetengah pihak yang kurang senang dengan perkembangan berlaku.
Ia diakui oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang sebelum ini secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Nurul Izzah.
Beliau menegaskan, pencalonan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak perlu dipertikaikan bersandarkan kelebihan yang sudah diketahui umum.
“Nurul Izzah dapat banyak sokongan dari akar umbi, dia adalah pejuang parti yang begitu lama dari dari zaman remajanya.
“Sepanjang kehidupannya, Nurul Izzah banyak beri tumpuan kepada parti untuk bergerak menegakkan kebenaran, keadilan dan kebersamaan. Tidak ada yang boleh menafikan kekuatan yang ada pada Nurul Izzah,” katanya kepada Sinar Harian.
Ditanya mengenai cabaran yang mungkin dihadapi Nurul Izzah untuk memenangi kerusi nombor dua parti, beliau yakin sebarang bentuk serangan tidak akan menjejaskan sokongan akar umbi.
Meskipun mengakui terdapat kelemahan sebalik kekuatan yang ada pada Nurul Izzah, Abdullah bagaimanapun menolak untuk menyatakan bentuk kelemahan secara spesifik.
“Tiada manusia yang tidak ada kelemahan. Setiap kita ada kelebihan dan kekurangan. Jadi sebagai manusia yang waras, kita pertimbangkan, kita tidak taat kepada sesiapa pun kecuali ALLAH SWT.
“Saya tidak anggap kelemahan, saya anggap boleh dibuat penambahbaikan. Kalau kita bercakap tentang kelemahan, maka lemahlah. Kalau cakap baik, maka akan jadi baik,” jelasnya.
Bagi penganalis politik, Wong Chin Huat, Nurul Izzah dan Rafizi merupakan pemimpin muda yang berkaliber dan berkarisma, namun tidak menolak terdapat kelemahan utama kedua-dua figura tersebut.
**media[3124054]**
“Kelemahan utama Rafizi, beliau gagal menonjolkan kelebihan teknokratik sebagai Menteri Ekonomi. Sebagai menteri dalam kerajaan campuran, beliau tidak dapat berfungsi sebagai pengatur strategi dan jurucakap PKR dalam menonjolkan identiti dan tarikan PKR dan memberangsangkan penyokong seperti sebelum PRU15.
“Kelemahan utama Nurul Izzah pula ialah apabila tewas di Permatang Pauh pada 2022 dan keputusan untuk tidak bertanding di PRN 2023.
“Tanpa rekod pencapaian terkini, justifikasi beliau bertanding senang dibatalkan oleh naratif dinasti politik,” ujarnya.
Ada kekuatan tersendiri
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK)yang baharu, Muhammad Kamil Abdul Munim menyifatkan kedua-dua calon mempunyai kekuatan tersendiri, sumbangan serta jasa kepada parti yang tidak boleh dinafikan.
Bagaimanapun tegas beliau, setiap kelebihan yang ada tidak sepatutnya menjadi tumpuan atau agenda untuk menyerang mana-mana pihak yang menawarkan khidmat dalam pemilihan kali ini.
“Sebahagian daripada kita fikir bahawa kekuatan yang ada pada Nurul Izzah pada waktu dan ketika ini sesuai untuk kita menggarap kekuatan anggota, memastikan tidak ada pepecahan dalam parti.
“Beliau ada pengalaman dalam membantu parti dan memimpin pilihan raya dan sebagainya,” katanya.
Untuk rekod, prestasi cemerlang dilakar parti itu ketika Nurul Izzah berperanan sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila mereka memenangi hampir 50 kerusi Parlimen.
Muhammad Kamil menambah, tidak dinafikan Rafizi juga berpengalaman dan mempunyai sumbangannya terhadap parti ini.
“Jadi pihak yang merasakan kekuatan Nurul Izzah itu difikirkan sesuai untuk waktu dan ketika ini harus gunakan kekuatan itu untuk berkempen.
“Kalau yang kata Rafizi ada kekuatan, gunakan kekuatan itu untuk berkempen bagi mengangkat suara Rafizi,” tegasnya.
Dalam masa sama, ditanya adakah serangan terhadap dalaman parti yang dilakukan Rafizi secara terbuka boleh menggugat kedudukan sokongan untuk mempertahankan kedudukan sebagai Timbalan Presiden, Muhammad Kamil menyerahkan perkara tersebut kepada kebijaksanaan anggota parti.
“Saya fikir anggota di bawah ini bijak untuk membuat penilaian berdasarkan apa yang sedang berlaku hari ini. Kita tahu menilai sikap pimpinan yang ada di hadapan kita pada hari ini.
“Jadi kita serahkan kepada kebijaksanaan anggota untuk membuat penilaian dan keputusan yang terbaik untuk kelangsungan kita ke hadapan dan seterusnya memperkukuh organisasi,” jelasnya.
Kini, kedua-dua calon giat menggerakkan kempen jelajah mendekati akar umbi dalam usaha memastikan kerusi Timbalan Presiden milik mereka.
Malah kedua-duanya turun bertemu ahli PKR bersama pasukan masing-masing.
Ia memberi bayangan yang jika Rafizi tewas sebagai Timbalan Presiden kemungkinan besar calon-calon Naib Presiden dalam pasukan beliau akan tumbang.
Begitulah juga sebaliknya, jika Nurul Izzah kalah.
Namun, dalam perang psikologi Rafizi pada malam Isnin di Kedah, beliau melontarkan beban yang lebih berat di bahu Nurul Izzah, kerana jika Puteri Reformasi itu tewas, ia ibarat ahli PKR menolak kepimpinan Anwar sebagai Presiden.
Pun begitu adakah ia satu 'reverse' psikologi Rafizi kepada perwakilan PKR yang akan mengundi atau sebaliknya, apa-apa pun akar umbi perlu menggunakan kebijaksanaan mereka sendiri untuk menafsir mesej pemimpin itu.